Keakraban Kl-london merentasi masa: PM
Kesinambungan kerjasama demi masa depan makmur, selamat
Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pertemuannya dengan Perdana Menteri Britain, Theresa May sebagai bukti keakraban persahabatan kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata, hakikat itu dengan sendirinya membolehkan kesinambungan kerjasama demi masa depan yang makmur dan selamat, baik di Malaysia mahu pun di Britain.
“Selain nilai dan sejarah yang kita kongsi bersama, Britain berusaha mencari hubungan baharu dengan rakan di seluruh dunia ketika membuat keputusan keluar dari Kesatuan Eropah (EU).
“Malaysia berada pada kedudukan yang baik bagi meningkatkan nilainya berikutan lokasi strategik di tengah-tengah Asia Tenggara, selain hubungan kuat dengan dunia Islam dan China,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas pertemuan selama 40 minit dengan May di 10 Downing Street di sini, pada Khamis.
Kedua-dua pemimpin berkenaan membincangkan beberapa isu penting termasuk perancangan Britain selepas Brexit, kerjasama pertahanan dalam menghadapi ancaman pengganas dan nasib etnik Rohingya.
Pertemuan pertama
Najib tiba di London selepas pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di Washington, sebelum pulang ke Malaysia. Ia adalah pertemuan pertama Najib dan May.
Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Britain mengesahkan semula persahabatan kukuh dua negara merentas masa yang terjalin sejak kemerdekaan 60 tahun lalu.
Najib berkata, Malaysia memiliki kekuatan tersendiri dalam mengekalkan kedudukan sebagai antara rakan utama Britain.
“Dengan kekuatan ini, sudah tentu boleh memberi nilai tambah kepada masa depan Britain selepas Brexit,” katanya.
Menyentuh usaha menentang keganasan, Najib berkata, keduadua negara senada dalam isu itu.
Katanya, Malaysia turut berkongsi kesedihan atas nyawa yang terkorban susulan serangan di Britain baru-baru ini.
Sedia berkongsi kepakaran
“Malaysia sedia berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam membanteras ancaman mereka yang menyeleweng nama Islam dengan mendakwa keganasan terbabit selari dengan ajaran Islam.
“Kita akan teruskan, malah akan memperkukuhkan aspek yang boleh membawa kepada kejayaan dalam usaha membanteras ancaman keganasan,” katanya.
Kedua-dua pemimpin turut menyentuh aspek nasib masyarakat Rohingya dan berpendapat masyarakat antarabangsa harus sepakat dalam mencari penyelesaian untuk mengakhiri krisis itu yang semakin meruncing.
Najib berkata, May juga mahu isu itu diselesaikan.
“Perdana Menteri Britain mengesahkan negaranya akan menghantar bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya.
“Kalau tak dapat yang di Myanmar atau Rakhine, bantuan akan diberi kepada mereka yang lari ke Bangladesh,” katanya.
Najib menyifatkan pertemuan- nya dengan dua pemimpin besar dunia pada ketika Malaysia meraikan kemerdekaan ke-60 tahun sebagai sesuatu yang penting.
“Ini menunjukkan kuasa besar dunia menerima Malaysia sebagai pelaku global yang signifikan dan pandangan kita diberi pertimbangan serius termasuk oleh Presiden Trump.
“Perdana Menteri May menyentuh mengenai hubungan 60 tahun. Kemerdekaan 60 tahun, 60 tahun hubungan dua hala dengan Britain.
“Pertemuan ini memberi kita peluang baik untuk melihat ke hadapan dan mengukuhkan hubungan sejak sekian lama,” katanya.
Pada pertemuan dengan May, Perdana Menteri diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK & Ireland Utara, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor serta Pengarah Hubungan Antarabangsa di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad.
Sementara itu, jurucakap Downing Street dalam kenyataan berkata, berdasarkan hubungan erat dan bersejarah sekian lama, keduadua pemimpin bersetuju terhadap kepentingan langkah mengukuhkan hubungan dua hala.
“Mereka ambil maklum bahawa 2017 menandakan ulang tahun ke60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara serta kemerdekaan Malaysia,” katanya.
Yang turut hadir pada pertemuan itu ialah Setiausaha Pertahanan Britain, Michael Fallon.
May dan Najib turut menyentuh mengenai krisis kemanusiaan di wilayah Rakhine yang mana May juga menekankan kepentingan pihak berkuasa Myanmar tidak menghalang bantuan kemanusiaan.
“Kedua-dua pemimpin bersetuju United Kingdom (UK) dan Malaysia wajar menyelaras bantuan kemanusiaan di Myanmar dan Bangladesh,” katanya.
Mereka juga menyentuh mengenai hubungan keselamatan antara Malaysia dan UK yang mana keduadua negara adalah peserta kepada Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).
Jurucakap itu berkata, May juga mengucapkan takziah ke atas kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan nyawa pelajar dan guru.