Polis turut siasat unsur perbuatan khianat
Kuala Lumpur: Siasatan berhubung kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk unsur perbuatan khianat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata buat masa ini pihaknya masih menunggu laporan dari pihak forensik mengenai perkara itu serta laporan bedah siasat.
“Kita sedang menunggu sebarang petunjuk baharu berdasarkan siasatan laporan forensik yang diterima, termasuk laporan pihak bomba.
“Buat masa ini kematian kesemua mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi Perkep Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman, di sini, semalam.
Bertindak selepas dapat bukti
Menurut Mohamad Fuzi, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya selepas mendapat bukti dan bukan berdasarkan dakwaan serta khabar angin sahaja.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dalam menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sama ada mempunyai unsur jenayah.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata kedua-dua agensi berbuat demikian berdasarkan kepakaran masing-masing.
“Kita akan siasat segala aspek yang berkait dengan kebakaran manakala polis akan mengesan jika wujudnya sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian.
“Kerjasama ini sudah lama diamalkan, setiap agensi mempunyai kepakaran yang tersendiri dalam menyelesaikan kes-kes kebakaran,” katanya kepada BH.
BERNAMA pula memetik Wan Mohd Nor sebagai berkata peringkat awal siasatan adalah mencari punca kebakaran dari pelbagai sudut termasuk mendapatkan rakaman percakapan daripada pemilik premis, mangsa yang terselamat dan saksi di tempat kejadian.
“Kalau ada membabitkan elemen jenayah dan sabotaj, pihak bomba akan serah laporan kepada PDRM untuk siasatan lanjut,” katanya.