Ratusan iringi jenazah mangsa
Orang ramai sebak ketika mufti bacakan talkin
Awan mendung yang berarak di udara seolah-olah menggambarkan suasana pilu yang menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves, ketika orang ramai menunggu jenazah 11 pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, petang semalam.
Selain ahli keluarga dan sahabat handai, ratusan orang ramai turut mengiringi jenazah mangsa ke tanah perkuburan.
Lebih memilukan hadirin mengalirkan air mata sebaik talkin dibacakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-bakri.
Van pertama membawa jenazah Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri, 10, tiba di tanah perkuburan jam 6.30 petang, diiringi anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Saat laungan azan Maghrib berkumandang, enam lagi jenazah pelajar tahfiz berkenaan dibawa memasuki kawasan kubur.
Jenazah Ahmad Harith Adam Mohd Nor Hadi, 12; Muhammad Nizammudin Nasrun, 13; Muhammad Taufik Hidayat Norazizan, 16; Amiel Asyraaf Abd Rasid, 11; Muhammad Zattulah Roslan, 11 dan Muhammad Syafik Haikal Mohd Sulaiman, 13, dikebumikan serentak pada jam 7.30 malam.
Guna lampu limpah
Bagaimanapun, keadaan gelap di sekitar tanah perkuburan menyebabkan pihak pengurusan terpaksa menggunakan lampu limpah.
Tepat jam 7.40 malam, jenazah Muhammad Danieal Md Amin, 14, Muhd Haris Ikhwan Mohd Sulaiman, 10 dan abangnya Muhammad Hafiz Iskandar, 11, tiba untuk disemadikan.
Jenazah terakhir yang dibawa adalah Muhammad Hazim Ahmad Nor, 13 dan selamat dikebumikan pada jam 8.15 malam.
Biarpun hujan lebat turun saat talkin dibacakan, orang ramai tidak berganjak dan tetap menunggu di tanah perkuburan.
Pengebumian selesai pada jam 9 malam dan orang ramai dilihat mula meninggalkan tanah perkuburan itu.
Terdahulu, suasana pilu menyelubungi Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi semalam apabila keluarga dan kenalan 23 mangsa terus setia menanti pengesahan identiti jenazah.
Waris dan ahli keluarga mangsa dilihat tiba di perkarangan unit forensik HKL seawal jam 8 pagi ketika hujan renyai walaupun sudah dimaklumkan proses pengesahan DNA dijangka selesai pada jam 3.30 petang.
Sementara itu, di Sungkai, Perak, jenazah tenaga pengajar, Mohd Yusuf Md, 26, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Gunung Besout 4 pada jam 9.45 malam tadi.
Terdahulu, jenazah Mohd Yusuf bersama 22 jenazah lain disembahyangkan di Surau Kuarters Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum dibawa ke Masjid Assalamuddin Felda Gunung Besout 4 di sini untuk disolatkan kali kedua pada jam 8.50 malam selepas solat Isyak.
Hujan lebat berterusan sejak petang tadi mulai berhenti sebaik van jenazah tiba di pekarangan masjid berkenaan.
Kira-kira 300 ahli keluarga dan penduduk kampung menghadiri upacara solat jenazah dan urusan pengebumian Allahyarham Mohd Yusuf.
Suasana hening menyelubungi upacara pengebumian Allahyarham Mohd Yusuf dan ahli keluarganya dilihat tenang sehingga pembacaan talkin selesai dibacakan abang ipar Allahyarham, Khairul Fahmi Daud.