Sharifah Amani takkan mengalah
Kental teruskan perjuangan meskipun bakat dipandang sepi
Kelibatnya semakin jarang menghiasi layar tempatan, tetapi itu bukan bermakna pelakon bertubuh kecil molek, Sharifah Amani,
30, hanya duduk bergoyang kaki. Permata hati guru lakonan, Fatimah Abu Bakar ini sebaliknya, tidak pernah jemu mencari ruang memperkasakan bakatnya.
Justeru, Amani kebingungan apabila ramai beranggapan dia menyepikan diri sedangkan projek filem yang dijayakannya tidak pernah putus.
“Saya pelik apabila ramai yang bertanya ke mana saya menghilang. Saya masih aktif, malah berusaha keras mengharumkan nama dengan menjayakan projek di peringkat antarabangsa. Secara peribadi, saya sedang meniti momen indah dalam kerjaya lakonan apabila terpilih membintangi filem antarabangsa antaranya Pigeon.
“Mungkin kerana ramai yang tidak ambil kisah, membuatkan mereka tidak tahu perkembangan kerjaya saya. Saya tidak kecewa kerana anak didik Allahyarham Yasmin Ahmad dan Fatimah Abu Bakar tidak mudah mengalah.
“Jatuh dan bangun saya tetap berjuang. Saya tahu, di luar sana ada yang beranggapan saya sedang hidup susah kerana tiada tawaran kerja. Tidak mengapa jika orang tidak mahu ambil saya berlakon kerana saya cerewet.
Cari kepuasan
“Saya buat kerja dengan jujur dan ikhlas kerana penghujungnya, saya mencari kepuasan dalam apa yang saya lakukan,” katanya.
Tahun lalu, Amani yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-18
(FFM18) dan Pelakon Wanita Terbaik FFM19 beraksi dalam filem Pigeon arahan sutradara dari negara Matahari Terbit, Isao Yukisada.
Pigeon adalah antara karya dalam The Asian Three-fold Mirror 2016: Reflections terbitan The Japan Foundation Asia Center dan Tokyo International Film Festival yang memuatkan tiga pecahan cerita membabitkan produksi dari Vietnam, Filipina dan Jepun.