Tiada pengganti
Ikrar kekalkan jenama Ungu bersama lima anggota asal
Sekitar akhir 2014, pernah terdengar ura-ura Ungu bakal berpecah namun, kumpulan yang terbentuk pada 1996 ini terus bertahan sebagai antara pemuzik berpengaruh di Indonesia dan Malaysia.
Keserasian yang terbentuk lebih dua dekad lalu menjadikan lima tonggak utamanya kental berdepan cabaran, sekali gus memperkukuhkan jenama Ungu. Kesibukan vokalisnya, Pasha yang terikat dengan komitmen sebagai
Datuk Bandar Kota Palu sejak dua tahun lalu juga bukan alasan untuk mereka mencari pengganti sementara. Ungu sebaliknya, enggan mengambil tawaran persembahan andai tidak cukup anggota.
Bagi pemain bassnya, Makki, sedari awal dia bersama empat lagi rakannya iaitu Pasha, Onci (bass),
Enda (gitar) dan Rowman (dram) sepakat untuk sentiasa tampil berlima.
“Sejak Pasha menyertai politik dan memegang jawatan Datuk Bandar, kami masih bersama mengadakan persembahan. Cuma, segala tawaran hanya diambil ketika cuti atau selepas waktu pejabat. Tiada isu berbangkit kerana kami sudah saling memahami.
“Kami juga sering mengadakan perbincangan bagi mengelakkan sebarang masalah berbangkit. Kami sudah lama berkawan, umpama darah daging sendiri.
“Tiada sesiapa yang boleh menggantikan tempat Pasha sebagai vokalis, begitu juga posisi anggota lain. Jika seorang daripada kami mempunyai komitmen lain, Ungu tidak akan ambil tawaran,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kumpulan itu.
Makki bersama seorang lagi tonggak Ungu, Enda diterbangkan ke Kuala Lumpur, barubaru ini bagi menghadiri sidang media Afgan & Ungu yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 6 Oktober ini.
Fokus kerjaya sampingan
Makki berkata, mereka juga semakin selesa dengan situasi semasa kerana ia membolehkan masingmasing memberi tumpuan terhadap komitmen sampingan.
Ulas pemuzik berusia 45 tahun itu lagi, perjalanan Ungu seakan sudah diatur dengan baik kerana selepas 20 tahun di arena seni, tiada apa lagi yang mahu mereka kejar.
“Dulu kami bekerja keras untuk bertapak, seterusnya menjadikan
Ungu sebagai jenama. Boleh dikatakan setiap minggu ada saja undangan persembahan pentas di sana sini, membuatkan jadual kami sentiasa padat dan terisi.
“Selepas bertahuntahun menjelajah ke seluruh Indonesia dan memenuhi undangan di negara jiran, mungkin ini waktu tepat untuk kami memperlahankan rentak. Sudah tiba masa untuk kami menumpukan perhatian terhadap perkara lain terutama keluarga.
“Namun, itu bukan bermakna dunia muzik tidak lagi penting, sebaliknya ia tetap di tangga teratas kerana apa yang kami kerjakan ketika ini masih berkait rapat dengan industri hiburan.
“Barangkali juga proses ini menjurus kepada faktor usia. Cuma, perlahan tidak bermakna Ungu mahu berhenti ‘berlari’ kerana jika ada undangan yang bersesuaian dan bertepatan masa seperti Konsert Terunggul Afgan & Ungu, kami tetap penuhi,” katanya.
Makki berkata, seperti ahli lain, Pasha turut memberikan komitmen jitu termasuk ketika persembahan yang memerlukan mereka ke luar daerah. Barubaru ini, Ungu sempat terbang ke Sabah memenuhi undangan pentas di situ.
Tiada sesiapa yang boleh menggantikan tempat Pasha sebagai vokalis, begitu juga posisi anggota lain. Jika seorang daripada kami mempunyai komitmen lain, Ungu tidak akan ambil tawaran Makki Pemain bass Ungu