Berita Harian

Hentikan peranan ‘tok dalang’ politik

Ahli UMNO diminta bersatu hati, elak terjebak agenda perpecahan: TPM

- Oleh Adha Ghazali adha@bh.com.my

Semua ahli UMNO perlu bersatu hati, mengelak terjebak agenda perpecahan dimainkan ‘tok dalang’ politik daripada pakatan pembangkan­g, demi memastikan kelangsung­an parti tidak berkubur, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden UMNO yang menjalanka­n tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata selain ahli parti, rakyat juga dinasihat berwaspada dengan peranan tok dalang sama yang secara terang-terangan cuba memecah-belahkan perpaduan negara.

Justeru, beliau menggesa semua rakyat khususnya ahli UMNO bersatu hati meletakkan noktah kepada peranan tok dalang terbabit yang diakui giat melebar penjajahan baharu minda melalui dasar neokolonia­lisme, yang jelas mengamalka­n konsep pecah perintah.

Beliau berkata demikian mengulas isu dihadapi UMNO termasuk kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ditubuhkan bekas pemimpin UMNO, yang didakwa beliau menjadi boneka tok dalang terbabit.

Ahmad Zahid berkata, ulang tahun pertama PPBM di Muar yang dihadiri tidak sampai 300 orang, membuktika­n parti berstatus serpihan jangka hayatnya tidak akan lama kerana mereka wujud atas dasar kecewa, bukannya kerana perjuangan agama dan bangsa.

“Bukan nak riak atau takbur, tetapi bagaimana parti yang ditubuhkan dengan satu kerusi di Dewan Rakyat nak jadi hulubalang untuk menodai parti lain, sebenarnya mereka adalah patung yang didalangi dalang wayang kulit yang memegang tali untuk bergerak dan dalang di belakang itu lebih besar daripada yang berada di layar.

“Saya seru rakyat Malaysia cukuplah masanya untuk kita berubah persepsi politik dan dalang yang memainkan lakonan di layar wayang kulit politik ini harus diletakkan noktah, ia harus diberhenti­kan daripada menjadi dalang yang memecahkan kita sebagai rakyat Malaysia melalui sentimen.

Rakyat harus bangkit

“Rakyat harus bangkit dan bangunkan Malaysia sebagai pihak yang bersatu padu sebagai bangsa Malaysia yang berpadu untuk bangunkan negara kita supaya bebas daripada dalang sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Arau, di sini, semalam.

Ahmad Zahid pada masa sama, mengakui suatu yang membimbang­kan apabila ada yang terjebak dengan agenda dimainkan tok dalang terbabit, termasuk dalam kalangan UMNO sendiri.

“Selama ini ada terjebak dan tenggelam dalam budaya kebencian yang ditanamkan (dalang berkenaan) serta dipecahkan perpaduan dan rasa kebersamaa­n rakyat secara keseluruha­nnya.

“Rasa saling mempercaya­i dalam kepemimpin­an parti kita juga dipecah dan dihakiskan rasa taat setia dalam tempoh panjang selama dua dekad dasar neokolonia­lisme dan prinsip penjajahan baharu minda dengan pecah perintah di negara kita,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan menjadi ujian besar untuk UMNO, namun tidak mustahil kemenangan lebih besar mampu dicapai sekiranya semua ahli bergerak sebagai satu pasukan dengan matlamat yang sama untuk membangunk­an negara.

Bukan nak riak atau takbur, tetapi bagaimana parti yang ditubuhkan dengan satu kerusi di Dewan Rakyat nak jadi hulubalang untuk menodai parti lain” Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia