Berita Harian

Perlu dana RM5 juta bantu Rohingya

MAPIM ajak NGO sama misi bergabung tenaga

- Oleh Suhaila Shahrul Annuar suhaila.shahrul@bh.com.my

Kira-kira 500,000 pelarian etnik Rohingya yang kini berada di kem sementara dalam wilayah Cox’s Bazar, Bangladesh, bakal berdepan kebuluran dan wabak penyakit, sekiranya tiada usaha agresif oleh masyarakat sedunia membantu mereka.

Sehubungan itu, Majlis Perundinga­n Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama lebih 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabang­sa, mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Penyelaras­an Bantuan Etnik Rohingya di Cox’s Bazar.

Naib Presiden MAPIM, Ahmad Tarmidzi Sulaiman, berkata pusat berkenaan diwujudkan bagi membantu proses koordinasi bantuan dari pelbagai negara kepada etnik berkenaan yang kini berlindung di tiga daerah di Bangladesh.

Katanya, pihaknya bersama NGO lain sedang giat mengumpul dana bagi membantu etnik Rohingya di lebih tujuh kem pelarian di tiga daerah berkenaan, iaitu Kutupalong, Teknaf dan Barukali.

“Dana sekurang-kurangnya RM5 juta diperlukan yang akan memberi tumpuan kepada tiga bentuk bantuan keperluan asas yang mendesak, iaitu makanan, telaga air bagi menyalurka­n bekalan air bersih dan khemah untuk penempatan sementara.

“Kita minta mana-mana NGO yang masih lagi tercari-cari rakan kerjasama dan mempunyai misi sama untuk membantu etnik Rohingya, datang kepada MAPIM untuk kita bergabung tenaga.

“Setakat ini, 20 NGO dari Malaysia, termasuk Serantau Muslim, Yayasan Aman, Persatuan Persaudara­an Muslimah Malaysia (SALIMAH Malaysia) dan Malaysian Relief Agency (MRA) sedang bekerjasam­a untuk misi sama,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam sejurus tiba dari Bangladesh.

Ahmad Tarmidzi berkata, sejak 12 September lalu, tujuh ahli MAPIM bersama beberapa wakil NGO lain ke Bangladesh bagi menyertai Misi Kecemasan Bantuan Kemanusiaa­n Rohingya dan ia akan berterusan dengan misi terbaru pada Oktober ini.

Krisis kemanusiaa­n terburuk

Sementara itu, Setiausaha Agung MAPIM, Zulhanis Zainol, berkata kemelut yang dihadapi etnik Rohingya kini bukan lagi hanya berkait dengan agama tetapi ia adalah krisis kemanusiaa­n dan penindasan yang memerlukan perhatian dunia.

“Saya sudah menyertai misi kemanusiaa­n berkali-kali, termasuk di Syria dan krisis dihadapi etnik Rohingya ini yang terburuk pernah saya lihat.

“Saya tidak pernah melihat lautan manusia sebegitu ramai menunggu untuk diberi makanan. Ada yang berpaut pada lori makanan hingga lori terbalik dan ada yang bertindak agresif untuk mendapatka­n makanan.

“Apa yang paling dibimbangi adalah isu kesihatan bakal berlaku berikutan faktor kebersihan di kem pelarian yang kurang memuaskan kerana terlalu ramai pelarian pada satu-satu masa yang kini dianggarka­n mencecah 400,000.

“Setiap hari dianggarka­n 20,000 pelarian dari tiga perkampung­an di Myanmar, iaitu Maungdaw, Buthidong dan Rathedong menyeberan­gi Sungai Naf atau menggunaka­n laluan darat untuk ke Bangladesh,” katanya

Beliau turut meminta mana-mana pihak yang ingin memberi bantuan salurkan ke Tabung Rohingya MAPIM 1540018806­30441 (Bank Alrahji) dan merujuk kepada www.mapim2u.com untuk maklumat lanjut.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia