Berita Harian

FBM KLCI dijangka tidak berubah

Ketegangan di Semenanjun­g Korea cetus sentimen negatif

-

Bursa Malaysia dijangka diniagakan tidak berubah minggu ini, dengan indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak antara paras 1,770 dan 1,780 mata berikutan sentimen berhati-hati terhadap pasaran tempatan dan global.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidik­an Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata pasaran kekal berhati-hati susulan ketegangan di Semenanjun­g Korea yang akan terus menjadi tumpuan dan memberi kesan kepada sentimen pasaran.

“Korea Utara melancarka­n satu lagi ujian nuklear baru-baru ini, yang mencetuska­n sentimen negatif di kebanyakan pasaran Asia minggu ini. Ketegangan itu dijangka terus menjejaska­n pasaran minggu depan,” katanya.

Beliau berkata pasaran serantau juga mungkin akan terjejas disebabkan prestasi lemah di Wall Street.

Bagaimanap­un, Nazri berkata pengukuhan ringgit mungkin menyediaka­n sokongan kepada pasaran tempatan, di samping kesan limpahan daripada pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika lawatannya ke negara itu baru-baru ini.

“Kami menjangka kesan limpahan (daripada pertemuan itu) akan mula dilihat dalam tempoh sederhana.

“Berdasarka­n kepada ini, saham di Bursa Malaysia dijangka disokong oleh sentimen tempatan yang baik, manakala tekanan luaran boleh mencetuska­n sentimen negatif, yang boleh menyebabka­n pasaran bergerak tidak berubah,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI naik 6.43 mata kepada 1,786.33 daripada 1,779.9 pada minggu sebelumnya.

Bursa Malaysia berada dalam momentum aliran meningkat pada awal minggu, disokong oleh kemajuan positif Felda Global Ventures Holdings Bhd dalam menyelesai­kan isu-isunya, serta banyak tender yang diperoleh oleh syarikat pembinaan tempatan.

Bursa tempatan juga mendapat sokongan daripada berita bahawa Korea Utara menangguhk­an ujian peluru berpanduny­a, melonjakka­n indeks ke paras tertinggi dalam tempoh hampir tiga bulan pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran itu bagaimanap­un, turun semula pada Rabu disebabkan aktiviti pengambila­n untung dan penurunan saham-saham berkaitan Apple.

Ulasan Trump mengenai sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke atas Korea Utara, yang dianggap beliau sebagai ‘langkah sangat kecil’, melemahkan lagi bursa tempatan, seiring dengan kebanyakan bursa serantau lain apabila pelabur bimbang dengan kemungkina­n tercetusny­a semula ketegangan di Semenan- jung Korea.

Bagi asas mingguan, Indeks FBM Emas menokok 34.40 mata kepada 12,723.68 dan Indeks FBMT 100 naik 30.42 mata kepada 12,387.94.

Indeks FBM Emas Syariah melonjak 41.84 mata kepada 12,927.98, FBM 70 turun 15.41 mata kepada 15,246.88 dan FBM Ace naik 43.02 mata kepada 6,692.60.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat sebanyak 102.45 mata kepada 16,828.98, Indeks Perusahaan menokok 33.83 mata kepada 3,242.55, dan Indeks Perladanga­n naik 80.45 mata kepada 7,970.66.

Jumlah dagangan meningkat kepada 13.13 bilion unit bernilai RM10.77 bilion daripada 10.34 bilion unit bernilai RM8.66 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 7.71 bilion saham bernilai RM9.86 bilion daripada 6.62 bilion saham bernilai RM7.98 bilion.

Jumlah dagangan waran naik kepada 789.15 juta unit bernilai RM102.77 juta daripada 633.87 juta unit bernilai RM81.02 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 4.59 bilion saham bernilai RM876.93 juta daripada 3.01 bilion saham bernilai RM590.80 juta.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia