Berita Harian

Malaysia muncul naib juara

- Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor

Kuala Lumpur: Impian skuad bawah 19 tahun (B-19) negara untuk mencipta sejarah menjuarai Kejuaraan B-18 AFF buat kali pertama musnah, apabila tewas 0-2 kepada Thailand pada final di Stadium Thuwunna, Yangon, malam tadi.

Biarpun tewas, pencapaian mara ke final seharusnya sudah boleh dibanggaka­n terutama dengan persiapan singkat yang dapat dilakukan skuad bimbingan Bojan Hodak itu.

Pada aksi malam tadi, Malaysia dapat melakukan percubaan terbaik pada minit ke-28 menerusi rembatan jarak jauh Nik Akif Syahiran Nik Mat yang sedikit tersasar di penjuru kiri pintu gol Thailand.

Thailand turut mendapat peluang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-42, namun Malaysia bernasib baik apabila percubaan di dalam kotak penalti daripada Yuthapicha­i Lertlum berjaya ditepis penjaga gol, Muhammad Azri Ab Ghani.

Gawang Malaysia akhirnya bocor pada minit ke-48 menerusi jaringan Ekanit Panya yang menanduk masuk bola hantaran Naravit Kaosantia.

Hantaran lambung

Hanya dua minit kemudian, Muhammad Azri tewas lagi dan kali ini, hasil tandukan kapten Thailand, Kritsada Kaman selepas menerima hantaran lambung Jaturapat Sattham.

Thailand terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Wudtichai Kumkeam diperintah keluar padang selepas dilayangka­n kad kuning kedua oleh pengadil, Thant Zin Oo pada minit ke-67.

Bagaimanap­un, peluang itu gagal digunakan sepenuhnya oleh anak didik Hodak apabila segala percubaan untuk memecah kebuntuan jaringan tidak berhasil.

Malah, Muhammad Zafuan Azeman turut melepaskan peluang keemasan untuk merapatkan kedudukan apabila sepakan penaltinya pada masa kecederaan diselamatk­an penjaga gol, Kantaphat Manpati.

Terdahulu, Indonesia membelasah tuan rumah Myanmar 7-1 pada aksi penentuan tempat ketiga di stadium sama, petang semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia