Berita Harian

Wanita berkerjaya tertekan bebanan tugas

Habiskan masa 15 jam di tempat kerja, berbanding 50 tahun lalu

- Oleh Norhafzan Jaafar hafzan@bh.com.my Kuala Lumpur

Wanita berkerjaya semakin bijak merebut peluang membina kerjaya, namun mereka tidak dapat mengawal tekanan disebabkan terlalu banyak bebanan tugas dan tanggungja­wab dalam satu masa.

Situasi berkenaan amat berbeza berbanding wanita pada 50 tahun lalu yang tidak berhadapan dengan pelbagai cabaran dan gaya hidup moden.

Perunding Perubatan Respirator­i Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Tini Maharani Hassan, berkata pelbagai bebanan tugas dan tanggungja­wab yang terpaksa digalas menjadikan wanita moden terutama ibu bekerjaya merasakan diri mereka hidup dalam keadaan tertekan.

“Tahap tekanan yang dihadapi mereka juga semakin meningkat biarpun jika dilihat kebanyakan mempunyai taraf pendidikan dan kedudukan kerjaya yang lebih baik berbanding apa yang dilalui wanita pada tahun 50-an.

“Mereka terpaksa membuat pilihan sama ada untuk berkahwin atau sebaliknya, sama ada untuk memulakan keluarga dan memiliki anak,” katanya pada sesi inspirasi bertajuk “Adakah Wanita Mengambil Peranan Lelaki” sempena Sidang Kemuncak Antarabang­sa Kepimpinan Wanita dalam Kejurutera­an (WIE), di sini, kelmarin.

Bekerja 15 jam sehari

Dr Tini berkata, disebabkan dilema yang dihadapi ramai wanita mengambil jalan mudah memilih kerjaya atau bidang tugas bersifat lebih mesra keluarga berbanding lelaki untuk mengelak sebarang kemungkina­n terhadap diri dan keluarga mereka.

Katanya, berbeza dengan lelaki, wanita berkerjaya terpaksa bekerja 15 jam lebih lama setiap minggu memandangk­an tugas dan tanggungja­wab tambahan yang terpaksa digalas mereka apabila di rumah.

“Walaupun bekerja di pejabat, tetapi kebanyakan wanita perlu melaksanak­an 70 hingga 75 peratus tugas tambahan dengan membuat kerja rumah dan membesarka­n anak demi kesejahter­aan keluarga,” katanya.

Kesan kerjaya dan kehidupan

Dr Tini berkata, tidak ramai yang sedar tugas dan peranan wanita dalam reprodukti­f turut memberi kesan kepada kesihatan diri, selain turut meningkatk­an tahap tekanan terhadap mereka.

"Kesan kehamilan dan melahirkan anak misalnya ramai yang mengalami masalah sakit belakang dan kesihatan merosot sehingga memberi kesan kepada kesihatan dan kesejahter­aan mereka secara keseluruha­n.

“Semua itu, sebenarnya turut memberi kesan terhadap kerjaya dan kehidupan mereka juga,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Tini berkata, sokongan berterusan daripada pasangan amat diperlukan wanita dengan saling melengkapi dan memahami kekuatan serta kelemahan masing-masing.

Waktu kerja fleksibel

Beliau berkata, wanita sepatutnya memerlukan waktu kerja yang lebih fleksibel memandangk­an mereka juga mempunyai komitmen dan tanggungja­wab besar apabila berada di rumah.

“Bagaimanap­un, wanita tidak seharusnya menjadi lelaki atau menyaingi golongan berkenaan, sebaliknya jadilah diri sendiri termasuk dalam membina kerjaya dan keluarga.

“Mereka juga perlu pandai menghargai diri sendiri dengan tidak membanding­kan diri dengan wanita lain kerana ia hanya sekadar menambahka­n tekanan,” katanya.

Beliau berkata, setiap wanita juga perlu sentiasa memperuntu­kkan masa untuk diri sendiri sekurang-kurangnya satu jam sehari bagi memastikan kehidupan mereka lebih ceria dan tidak sentiasa hidup dalam tekanan.

Walaupun bekerja di pejabat, tetapi kebanyakan wanita perlu melaksanak­an 70 hingga 75 peratus tugas tambahan dengan membuat kerja rumah dan membesarka­n anak demi kesejahter­aan keluarga” Tini Maharani Hassan, Perunding Perubatan Respirator­i UKM

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Wanita bekerja berdepan dengan tugas di pejabat dan pada masa sama melaksanak­an tanggungja­wab menguruska­n anak dan keluarga.
[FOTO HIASAN] Wanita bekerja berdepan dengan tugas di pejabat dan pada masa sama melaksanak­an tanggungja­wab menguruska­n anak dan keluarga.
 ??  ?? Tini pada sesi inspirasi sempena WIE, kelmarin.
Tini pada sesi inspirasi sempena WIE, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia