Terpaksa potong kaki 2 kali akibat barah
Rantau Panjang: Akibat terlalu sakit serta komplikasi barah tulang yang dideritai, seorang remaja terpaksa menjalani pembedahan kali kedua memotong kakinya hingga paras paha.
Abdul Afza Aziz Abdul Wahab, 16, sebelum ini sudah menjalani pembedahan sepanjang 60 sentimeter (sm) pada kaki kirinya untuk membuang sel barah daripada merebak di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Jun lalu.
Namun, disebabkan komplikasi penyakit serta berlaku takungan nanah pada bahagian terbabit, kakinya terpaksa dipotong buat kali kedua pada 13 September lalu.
Ibunya, Siti Halimah Mohammad, 36, bagaimanapun bersyukur pembedahan selama tujuh jam itu berjalan lancar walaupun terpaksa ditangguh beberapa kali kerana keadaan Afza yang lemah dan mengalami tekanan darah rendah.
“Afza anak yang baik dan tidak pernah mengalah atau berputus asa. Keputusan untuk memotong kakinya ini disuarakan Afza sendiri kerana dia sudah tidak mampu menanggung rasa sakit.
“Malah saya dapat melihat senyuman pada wajahnya selepas menjalani pembedahan ini. Saya reda dengan nasib yang menimpa Afza dan berharap agar dia terus kuat dan dapat membiasakan diri dengan keadaannya sekarang.
Bangga dengan anak
“Saya berbangga dengan semangat yang ada dalam dirinya. Dia pernah memberitahu saya, walaupun dia sudah cacat, dia tetap akan berusaha menjadi insan yang terbaik kerana kecacatan tidak menghalangnya untuk berjaya,” katanya ketika ditemui BH.
Kisah penderitaan Abdul Afza Aziz Abdul Wahab, 16, mendapat perhatian ramai selepas BH membuat pendedahan mengenai remaja berkenaan pada 2 Julai lalu yang menderita akibat barah tulang.
Siti Halimah berkata, Afza menyuarakan hasrat untuk belajar di sekolah tahfiz apabila sembuh.
“Sekarang saya berharap dia sembuh dan perlu menjalani rawatan serta meneruskan kimoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
“Saya berharap ada pihak yang dapat membantu Afza mendapatkan kaki palsu bagi mudahkan pergerakannya selepas ini.” katanya.