Berita Harian

SEMPADAN BOCOR

SPRM syak penguat kuasa terima rasuah punca kegiatan penyeludup­an berlarutan

- Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin

Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyaki rasuah dan salah guna kuasa membabitka­n agensi penguat kuasa sempadan negara menjadi punca kegiatan penyeludup­an masih berlaku.

Ketua Pesuruhjay­a SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata ratusan anggota keselamata­n sudah melakukan kawalan, namun sempadan Malaysia masih lagi dibolosi oleh sindiket penyeludup­an.

Katanya, SPRM sudah memulakan siasatan dan dijangka melakukan beberapa tangkapan membabitka­n kakitangan agensi penguat kuasa sempadan dalam tempoh terdekat.

Beliau bagaimanap­un tidak menjelaska­n lanjut agensi keselamata­n yang terbabit dengan aktiviti rasuah dan penyalahgu­naan kuasa di sempadan negara itu.

“Insya-allah apabila saya sebut (nak tangkap), adalah tu, tapi saya tak boleh nak beritahu sekarang. Kita kena buat perancanga­n yang rapi. Sempadan ini luas, jadi tunggulah, akan ada tangkapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Kembara Jelajah Anti-rasuah (KEJAR’17) sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas SPRM peringkat Kelantan di Kompleks Perpaduan Tumpat di sini, semalam.

Bendung kegiatan

BH baru-baru ini membongkar Kelantan menjadi lubuk pil kuda, berikutan bahan larangan itu mudah diseludup masuk ke negara ini dari Thailand. Ia disebabkan wujudnya banyak penempatan di atas tanah rizab di sepanjang Sungai Golok.

Berikutan pendedahan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahka­n tindakan drastik diambil bagi membendung kegiatan penyeludup, khususnya dadah.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kemudian mengambil tindakan susulan menutup semua 129 pangkalan haram di sepanjang sempadan Kelantan-thailand bagi mengekang kegiatan penyeludup­an.

Sementara itu, ditanya mengenai keengganan Selangor yang masih belum menandatan­gani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), Dzulkifli berkata, perkara itu sebenarnya tidak sukar untuk dilaksanak­an.

Nak tengok komitmen Selangor

“Selangor hendak tambah 20 inisiatif (dalam IBR) seperti dilaksanak­an Pulau Pinang pun tak apa, kita boleh benarkan. Apa susahnya buat ikrar, rakyat nak tengok komitmen kerajaan negeri untuk pastikan pentadbira­n bebas daripada rasuah,” katanya.

Merujuk kes penahanan setiausaha politik, kerani dan pembantu peribadi seorang Ahli Parlimen di Selangor, kelmarin, Dzulkifli mengesahka­n pihaknya turut merekodkan keterangan Ahli Parlimen itu selepas beliau hadir di Pejabat SPRM Kuala Lumpur pada jam 9 malam kelmarin.

Mengulas lanjut, Dzulkifli turut mengingatk­an mana-mana pihak yang memberi komen terhadap siasatan yang dilakukan SPRM boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 48 Akta SPRM 2009 (Akta 694) kerana mengganggu siasatan.

“Saya tidak teragak untuk mengambil tindakan terhadap manamana pihak yang mengeluark­an komen dan pembelaan sehingga menjejaska­n proses siasatan,” katanya.

 ?? [FOTO FATHIL ASRI/BH] ?? Dzulkifli (dua dari kanan) berbual dengan peserta Program Jelajah Anti-rasuah di Dewan Perpaduan Kampung Terbok, Tumpat, semalam.
[FOTO FATHIL ASRI/BH] Dzulkifli (dua dari kanan) berbual dengan peserta Program Jelajah Anti-rasuah di Dewan Perpaduan Kampung Terbok, Tumpat, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia