Berita Harian

Yayasan Hasanah bantu pulihara Pulau Mantanani

-

Kota Belud: Penduduk Pulau Mantanani, di sini, berharap Pelan Pengurusan Marin (MMA) yang kini dalam perancanga­n untuk dilaksanak­an di pulau itu dalam masa tiga tahun lagi, mampu memberi manfaat kepada penduduk untuk jangka panjang.

Ketua Kampung Pulau Mantanani yang juga Pengerusi Jawatankua­sa MMA, Mohd Tahir Juhan 46, berkata ketika ini pelbagai program sedang dan akan dilaksanak­an dengan bantuan Reefcheck Malaysia (RCM).

Sambil berharap pelan ini dapat dilaksanak­an komuniti pulau itu, beliau berkata, sokongan penduduk kampung menggalakk­an.

“Walaupun pada mulanya agak susah juga, tetapi saya melihat sokongan penduduk kampung terutama belia semakin bertambah.

“Beberapa belia pulau yang juga ahli MMA berpeluang ke Pulau Langkayan, di Kinabatang­an dan Kampung Berungus di Pitas untuk melihat sendiri usaha komuniti di situ memulihara sumber alam termasuk sumber marin hingga menjadi tarikan pelancong.

“Ini menjadi pendorong kepada kami walaupun pada mulanya ada yang membantah terutama mereka yang terbabit dalam aktiviti pengeboman ikan, tetapi yang menentang ini kebanyakan­nya orang luar, justeru ia tidak menjejaska­n matlamat kami,” katanya.

Sedia pelbagai program

Penduduk turut dibantu RCM menyediaka­n pelbagai program bagi menjayakan pelan berkenaan.

RCM mendapat sokongan daripada Yayasan Hasanah (Hasanah), sebuah yayasan berasaskan impak milik Khazanah Nasional Berhad bagi menjalanka­n aktiviti mereka di Pulau Mantanani.

Sementara itu, Pengurus Besar RCM, Julian Hyde, berkata pihaknya menjalanka­n pelbagai aktiviti di pulau itu sejak 2011.

Katanya, antara program itu ialah pemantauan terumbu karang, program kitar semula botol plastik bersama komuniti dan program kesedaran alam sekitar bersama murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Mantanani.

“Kita mula mengetahui mengenai pulau ini disebabkan isu bom ikan. Untuk mengubah sikap penduduk bukan mudah, perlu mengambil masa bertahun bukan sahaja di pulau ini, malah di tempat lain.

“Jika mahu terus melakukan konservasi di Pulau Mantanani, sudah pasti penduduk tidak dapat menerimany­a dengan mudah. Sebab itu, sejak lebih lima tahun lalu, kita adakan program kesedaran alam sekitar bersama murid sekolah, ajar mereka menanam terumbu karang dan program kitar semula.

“Dengan sokongan Hasanah, kita bawa beberapa penduduk kampung yang juga ahli MMA ke beberapa lokasi diurus masyarakat kampung seperti di Pulau Langkayan, Kinabatang­an dan di Pitas,” katanya.

Katanya, susulan beberapa program itu, mereka mulai faham kaitan kepentinga­n penjagaan alam sekitar dan ekosistem marin.

“Kita menubuhkan ahli jawatankua­sa MMA pada Januari lalu dan mahu pelan ini dilaksana sepenuhnya pada 2019. Usaha melaksanak­an pelan itu juga ke arah mewartakan Pulau Mantanani sebagai kawasan konservasi mengikut Enakmen Konservasi Hidupan Liar 1997,” katanya.

Antara program itu ialah pemantauan terumbu karang, program kitar semula botol plastik bersama komuniti dan program kesedaran alam sekitar bersama murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Mantanani” Julian Hyde, Pengurus Besar RCM

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia