Berita Harian

Pelantikan Li mampu lonjak PROTON

CEO baharu diyakini bawa perubahan besar industri automotif

- Oleh Nazura Ngah nazura_ngah@bh.com.my

Pengalaman luas dimiliki Dr Li Chunrong dalam industri automotif, selain berpengala­man bekerja dengan jenama utama antarabang­sa diyakini mampu mempercepa­tkan pelan pemulihan PROTON Holdings Bhd (PROTON), sekali gus melonjakka­n industri automotif negara ke peringkat global dalam tempoh lima tahun.

Pelantikan Chunrong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) yang berkuat kuasa Ahad ini mampu meletakkan produk keluaran PROTON ke tahap global, setanding jenama utama antarabang­sa.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah, berkata beliau yakin dengan pengalaman luas pada peringkat global, pelantikan Li akan membawa perubahan terhadap organisasi industri automotif negara dari aspek operasi, pemasaran, kualiti selain penyelidik­an dan pembanguna­n produk.

Beliau berkata, pelantikan itu juga dilihat mampu mengembali­kan kegemilang­an PROTON, sekali gus melenyapka­n gelaran jaguh kampung dipegang sebelum ini.

“Dalam tempoh lima tahun, sudah pasti akan berlaku perubahan terhadap organisasi selain wujud pemindahan bukan sahaja teknologi malah pengurusan organisasi dalam kalangan pemain industri tempatan.

“Sudah pasti dengan pengalaman luas, Chunrong mampu melonjakka­n PROTON ke tahap lebih baik. Apa yang lebih penting pelantikan Chunrong perlu dilihat dari sudut organisasi, bukan individu kerana pengalaman dan kelayakan CEO baharu ini mampu menguntung­kan berpuluh ribu orang, termasuk pekerja dan vendor.

“Difahamkan Chunrong juga antara individu yang bersemanga­t membantu industri kecil dan sederhana (SMI) dalam sektor automotif,” katanya, semalam.

Pelantikan ikut terma

Sementara itu, pakar geostrateg­is, Azmi Hassan, berkata pelantikan Chunrong bukan satu keputusan mengejut kerana ia dibuat mengikut terma pembelian 49 peratus saham PROTON, apatah lagi Chunrong dianggap orang berpengala­man dalam industri automotif.

Katanya, menerusi terma perjanjian antara PROTON dan Zhejiang Geely Holding Group (Geely), CEO dilantik oleh Geely, namun PROTON masih mempunyai kawalan keputusan akhir menerusi pegangan saham majoriti dan kuasa untuk melantik pengerusi.

Beliau berkata, masalah PROTON bukan dari aspek kualiti kenderaan, sebaliknya kesukaran menembusi pasaran global begitu kompetitif.

“Dengan bantuan jenama Geely dan pengalaman CEO baharu maka dijangkaka­n kenderaan buatan PROTON mampu dipasarkan di negara ASEAN dan China, sekali gus mampu menyelesai­kan isu jumlah kenderaan yang dijual tidak ekonomik dari segi skala,” katanya.

 ??  ?? Li Chunrong
Li Chunrong

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia