Berita Harian

Saksi beri fakta bercanggah kes pelajar asing edar dadah

-

Seremban: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menangguhk­an perbicaraa­n kes seorang pelajar Korea Selatan yang didakwa mengedar dadah tahun lalu kerana saksi dipercayai memberi fakta bercanggah.

Keputusan dibuat Hakim Abu Bakar Jais selepas saksi itu sendiri mengaku berbohong pada hari kedua perbicaraa­n kes berkenaan, semalam.

Abu Bakar kemudian meminta Timbalan Pendakwa Raya Rahimah Abd Majid mengkaji semula kes itu dengan mengambil kira pengakuan saksi pendakwaan.

“Bohong tetap bohong. Bohong macammacam, ada bohong sedikit dan besar, tetapi menipu dalam mahkamah adalah serius. Bila sudah bersumpah di dalam mahkamah, sepatutnya perlu bercakap benar,” katanya.

Mengaku tak bersalah

Pelajar sebuah kolej swasta di Nilai itu, Kim Yun Soung ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pada 31 Oktober tahun lalu, mengaku tidak bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 219 gram di Bandar Baru Nilai.

Dia yang dituduh melakukan jenayah itu pada jam 12.30 tengah malam, 19 Oktober 2016, didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntu­kkan hukuman mati.

Perbicaraa­n kali pertama kes diadakan di Mahkamah Tinggi pada Mac lalu dan bersambung pada Rabu lalu.

Mohon dikenakan tindakan

Pada prosiding hari ini, peguam tertuduh, Gobind Singh Deo memohon supaya saksi yang dipercayai memberikan keterangan palsu itu, dikenakan tindakan kerana menghina mahkamah.

Bagaimanap­un, Rahimah memaklumka­n kepada mahkamah, saksi terbabit belum diperiksa balas dan memohon tempoh untuk berbuat demikian.

Mahkamah menetapkan 4 Oktober ini untuk kedua-dua pihak membuat hujahan lanjut berhubung kes berkenaan.

Yang turut hadir di mahkamah adalah datuk dan nenek tertuduh serta pegawai Kedutaan Korea Selatan. Pelajar itu kelihatan tenang sepanjang prosiding, namun datuk dan neneknya dilihat bersedih.

Bohong macam-macam, ada bohong sedikit dan besar, tetapi menipu dalam mahkamah adalah serius. Bila sudah bersumpah di dalam mahkamah, sepatutnya perlu bercakap benar” Abu Bakar Jais, Hakim

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia