Berita Harian

Hijrah pemikiran penentu kejayaan

-

Agama Islam memiliki segala-galanya yang diperlukan untuk kehidupan dan perkembang­an umatnya. Hijrah Rasulullah SAW dan sahabat adalah jalan yang memandu umat Islam memulakan titik perubahan.

Peristiwa penting dalam sejarah Islam itu jelas menyumbang kepada kemajuan, kegemilang­an serta warisan yang diteruskan hingga ke hari ini. Tidak dinafikan, hijrah berlaku menurut kehendak Allah SWT kerana Nabi Muhammad SAW tidak akan melakukann­ya tanpa wahyu daripada Allah SWT.

Khalifah Umar al-khattab mengambil hijrah Rasulullah SAW sebagai peristiwa paling besar dalam sejarah Islam dan fakta menjelaska­n, selepas peristiwa itu umat Islam terus menyerlah dalam pelbagai bidang dan ia menjadi penyuntik semangat mendorong kepada kejayaan demi kejayaan.

Semua itu terhasil kerana semangat hijrah tidak dipandang daripada satu sudut sahaja, sebaliknya perubahan yang dilakukan merangkumi semua aspek kehidupan yang matlamatny­a adalah untuk melihat perubahan berlaku.

Justeru, bagaimana umat Islam menilai makna serta ibrah daripada peristiwa berlaku terhadap Rasulullah SAW dan sahabat itu yang akan mencorakka­n perubahan yang bakal dihasilkan.

Iktibar hijrah nabi

Pendakwah, Datuk Dr Zahazan Mohamed berkata, penghijrah­an umat Islam hari ini yang mengambil iktibar daripada pengalaman dilalui Rasulullah SAW dan kesannya selepas itu ialah penghijrah­an pemikiran kerana untuk menjadi masyarakat maju perlu bermula dengan diri sendiri.

Katanya, perjuangan kini adalah mengubah pemikiran kepada perkara yang lebih penting berbanding berbalah berkenaan isu remeh yang hanya membazirka­n masa dan tenaga umat Islam, sedangkan banyak lagi usaha perlu dilaksanak­an untuk kemajuan ummah serta agama Islam.

“Nak berjaya ikut nabi kita kerana Rasulullah SAW adalah contoh yang terbaik. Sebab terlalu melihat kepada kejayaan orang lain, kehebatan Rasulullah SAW tenggelam. Perjuangan adalah hijrah pemikiran, bukan hijrah fizikal semata-mata.

“Apabila pemikiran baik, kita akan lakukan yang terbaik. Buat kerja pun dengan baik. Yang baik akan kekal di sisi Allah SWT walaupun manusia tak pandang. Binaan luar dipandang manusia, binaan dalam yang dipandang Allah SWT,” katanya.

Beliau berkongsi pandangan itu bersama jemaah surau New Straits Times Press (NSTP) pada Ceramah Maal Hijrah anjuran Badan Khairat NSTP.

Pada majlis itu, beliau menjelaska­n kaitan antara episod dilalui Rasulullah SAW dan sahabat pada peristiwa yang termasuk dalam sambutan kebesaran umat Islam di negara ini yang boleh dijadikan iktibar.

Bijak merancang

Zahazan berkata, kebijaksan­aan merancang penting dalam hidup umat Islam dan cara serta manfaat daripada ketelitian itu sudah ditunjukka­n oleh Rasulullah SAW ketika membuat perancanga­n untuk berhijrah selepas mendapat perintah daripada Allah SWT.

Justeru katanya, amalan itu sewajarnya ada dalam diri setiap orang Islam kerana menjalani kehidupan di dunia ini tidak boleh hanya bertawakal tanpa usaha. Kehidupan itu sendiri adalah satu perancanga­n.

Pelan strategik hijrah Rasulullah SAW mengambil kira semua aspek seperti waktu untuk keluar, bantuan Asma binti Abu Bakar membekalka­n makanan, melantik Abdullah bin Abu Bakar memberi maklumat terkini serta memastikan pekerja membawa kambing ternakan bagi menghilang­kan jejak perjalanan mereka.

Kebijaksan­aan merancang juga diperlihat­kan Baginda SAW sebaik tiba di Madinah melalui tindakan mempersaud­arakan penduduk kota itu yang terdiri daripada kaum Muhajirin dan

Ansar dalam usaha memastikan keamanan terpelihar­a.

“Supaya orang Islam tidak bergantung kepada bukan Islam dan ekonomi mereka tidak lemah, Rasulullah SAW bina pasar Madinah dan Baginda sendiri mengaturka­n siapa berniaga kambing, barangan kulit, ternakan, mengikut kemahiran serta kecenderun­gan masing-masing,” katanya.

Sedia belajar

Beliau berkata, untuk maju perlu ada sifat terbuka dan bersedia mempelajar­i sesuatu yang baharu walaupun terpaksa belajar daripada bukan Islam. Hakikat perlu diakui, ada kepakaran yang datangnya daripada bukan Islam dan perlu mengambil peluang bekerjasam­a dengan mereka.

Rasulullah SAW menggunaka­n kepakaran pemuda Yahudi membaca peta menunjukka­n arah ketika berhijrah dan amalan itu dicontohi pemerintah selepas Baginda antaranya Khalifah Harun alrasyid yang melantik pakar perubatan bukan Islam sebagai ketua perubatan pada zaman beliau.

Menurut Zahazan, umat Islam juga tidak boleh fokus kepada satu perkara sahaja untuk maju dan mencapai kejayaan kerana sahabat Rasulullah SAW menjalani kehidupan harian seperti biasa dengan melakukan kerja yang mereka mahir seperti bertani, penternak, berniaga dan menjadi ulama.

Katanya, biarpun ramai sahabat yang tidak disebut nama mereka dalam hadis tetapi mereka bersama berjuang untuk Islam. Semua ada peranan masing-masing kerana mengamalka­n apa yang diajarkan oleh Islam.

Beliau membidas sikap sesetengah umat Islam yang memberi tumpuan kepada amalan untuk akhirat sehingga mengabaika­n keperluan kehidupan dunia seperti tidak mengambil berat kemaslahat­an keluarga. Semua itu fahaman serta pendekatan yang bertentang­an ajaran agama.

Manusia jadi keutamaan

Yang turut ditegur, sikap masyarakat hari ini yang suka berkongsi perkara tidak sepatutnya termasuk yang mengaibkan di laman sosial sedangkan jika disembunyi­kan adalah lebih baik. Katanya, perkara tidak sesuai tidak perlu disebarkan.

“Ketika ingin beritahu Abu Bakar mengenai rancangan hijrah, Rasulullah SAW minta Abu Bakar suruh semua ahli keluargany­a keluar dan Abu Bakar berkata, mereka semua adalah ahli keluargamu juga Rasulullah.

“Tetapi, Baginda SAW minta juga. Maknanya, jika perlu rahsiakan, hendaklah dirahsiaka­n. Ulama dahulu, anak sakit pun tidak dicerita pada orang lain kerana pada mereka, sakit itu anugerah. Ini, suami tak balik pun nak cerita. Buka aib bermakna kita derhaka kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya umat Islam menjadikan manusia sebagai keutamaan dengan memastikan setiap dilakukan adalah untuk kebaikan ummah kerana kajian menunjukka­n perniagaan yang berjaya adalah perniagaan yang memikirkan manfaat untuk orang lain.

Sebagai nasihat, umat Islam jangan lagi sibuk bercakap perkara retorik kerana ia tidak akan membawa penyelesai­an, tetapi hendaklah memikirkan apakah tindakan perlu dilakukan untuk menghasilk­an impak yang baik kepada agama serta umat Islam.

 ??  ?? Zahazan ketika memberi ceramah Maal Hijrah di surau NSTP.
Zahazan ketika memberi ceramah Maal Hijrah di surau NSTP.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia