Berita Harian

‘Pemain FELDA United tidak boleh leka’

- Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengendali FELDA United, B Sathianath­an mengigatka­n anak buahnya agar tidak mendabik dada atas kemenangan 3-2 membenam juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Katanya, beliau tidak mahu pemain dibuai dengan kemenangan itu apatah lagi mereka bakal menentang Kedah pada peringkat separuh akhir Piala Malaysia pada 15 Oktober ini.

“Saya pasti Johor DT pada hari ini (malam tadi) bermain bukan pada tahap sebenar. Mereka sebenarnya mempunyai kualiti yang lebih baik.

“Tetapi pemain kami juga mempunyai karakter dan kesungguha­n untuk menang. Daripada jangkaan satu mata yang diburu akhirnya kami dapat tiga mata.

Empat pasukan terbaik

“Cuma untuk menentang Kedah pada separuh akhir nanti, kami tidak boleh sepenuhnya menggunaka­n kemenangan ini sebagai penanda aras kerana Johor DT tidak turun dengan kekuatan sebenar,” katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi di Shah Alam.

Dalam perlawanan itu, dua gol dari Thiago Fernandes dan satu daripada Ifedayo Omosuyi memastikan tiga mata buat skuad The Fighters, manakala dua gol pelawat dijaringka­n menerusi Junior Eldstal dan Gabriel Cabrera.

Menurutnya, beberapa aspek akan dipertingk­atkan sebelum pertemuan dengan juara bertahan Piala Malaysia itu terutamany­a dalam aspek tumpuan ketika mendahului lawan.

“Dalam perlawanan ini, kita seperti hilang fokus apabila dah mendahului. Ia menjadi masalah besar buat kami dan ia perlu diperbaiki bagi memastikan kemenangan di separuh akhir nanti,” katanya.

Bekas jurulatih kebangsaan mengakui kemenangan berkenaan juga mencerahka­n peluang mereka untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik Liga Super musim ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia