‘Jumaat paling buruk’
Wolff berang Mercedes AMG PETRONAS tak laju sesi latihan bebas
Ketua Mercedes AMG PETRONAS, Toto Wolff mengakui dua jenteranya tidak pantas pada sesi latihan bebas semalam sekali gus menuntut kru pasukannya untuk mengatasi segala kelemahan sebelum bermulanya sesi kelayakan, hari ini.
Malah Wolff menegaskan, ia antara sesi latihan bebas paling teruk pernah dilalui oleh keduadua jenteranya itu selepas menyaksikan Lewis Hamilton sekadar mencatat masa keenam terpantas sementara Valterri Bottas, ketujuh.
“Catatan masa hari ini (semalam) jelas menggambarkan prestasi sebenar kami. Catatan sepusingan menunjukkan kami sememangnya tidak begitu pantas.
“Kereta nampak tidak seimbang. Saya boleh katakan ia adalah hari Jumaat paling buruk yang pernah saya ingat,” katanya pada sidang media.
Punca lain
Jelas Wolff, kru pasukan tidak mempunyai pilihan lain selain perlu segera mencari jalan penyelesaian untuk memastikan keduadua jentera itu kompetitif pada sesi kelayakan.
“Kami berdepan masalah selepas memasang beberapa bahagian baharu di jentera.
“Sekarang kami perlu melihat kembali apakah punca lain yang menyebabkan kepada prestasi hambar.
“Jelas sekali di setiap pusingan kami kurang kepantasan. Saya amat berharap kami dapat menyediakan jentera terbaik sebelum sesi kelayakan,” katanya.