Berita Harian

Mangsa disyaki kena pukul

Pemeriksaa­n terhadap tubuh mangsa mendapati ada kesan lebam dipercayai dipukul di beberapa bahagian badan dengan kesan kecederaan dialami kedua-duanya seakan-akan sama

- Oleh Shamsul Kamal Amarudin, Mohd Zulkifli Zainuddin, Farah Suhaidah Othman dan Syaherah Mustafa

Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mati akibat didera di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan, Jumaat lalu, dipercayai dipukul bertubi-tubi menggunaka­n objek keras.

Siasatan awal mendapati mangsa dipukul sehingga mengalami sesak nafas dan paru-paru mengalami perdarahan.

Sumber berkata, pemeriksaa­n terhadap tubuh kedua-dua mangsa juga mendapati ada kesan lebam dipercayai dipukul di beberapa bahagian badan dan kesan kecederaan luaran dialami keduaduany­a juga seakan-akan sama.

“Ada beberapa kesan lebam di beberapa bahagian badan mangsa, termasuk bahagian perut, belakang badan, rusuk dan lutut,” katanya kepada BH.

Awal pagi semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee, mengesahka­n Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailatulim­an Mohd Sukri, 26, maut akibat didera secara fizikal.

Gan berkata, polis mengklasif­ikasikan kematian itu sebagai kes bunuh berdasarka­n laporan bedah siasat di Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

“Bedah siasat yang dilakukan ke atas kedua-dua mangsa mendapati berlakunya kes penderaan yang mendatangk­an kecederaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Pendarahan paru-paru

Bedah siasat ke atas Nik Muhammad Baihaqy dilakukan pada jam 3.30 petang hingga 7 malam kelmarin, mendapati kematianny­a disebabkan pendarahan paruparu akibat dipukul dengan alat tumpul.

“Bedah siasat ke atas Muhammad Lailatulim­an bermula jam 9 malam hingga 11.30 malam (kelmarin) mendapati dia meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma pada tisu lembut,” katanya.

Sementara itu, ahli keluarga Nik Muhammad Baihaqy juga mendakwa ada kesan jalur merah dan lebam pada dada Allahyarha­m.

Lokman Hakim Zakaria, 27, adik ipar Nik Muhammad Baihaqy mendakwa melihat sendiri kesan itu ketika memandikan jenazah di HRPB, malam kelmarin.

Beliau mendakwa, kesan lebam itu kelihatan berjalur seolah-olah dipukul menggunaka­n senjata tumpul seperti kayu.

Dalam pada itu, Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Kamarulzam­an Ahmad Badaruddin juga mengesahka­n kedua-dua mangsa sihat sebelum dimasukkan ke Pusat Tahanan Unit Sungai Wangi.

Katanya, laporan itu berdasarka­n prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan terhadap kedua-dua mangsa, sebelum mereka ditahan dalam bilik tahanan.

“Kita boleh sahkan keduaduany­a adalah sihat (sebelum dihantar di bilik tahanan), namun kita tidak boleh ulas lanjut kerana tidak mahu buat sebarang spekulasi.

“Perkara itu adalah serius dan kita juga meminta orang yang pakar dalam undang-undang bagi membantu kita,” katanya.

Ahmad Kamarulzam­an berkata, Lembaga Siasatan yang ditubuhkan TLDM sudah bersidang kelmarin tetapi tidak akan campur tangan dalam siasatan polis.

“Lembaga itu akan menyiasat, sama ada anggota terbabit dalam kes itu tidak mematuhi SOP ditetapkan serta meneliti sama ada SOP berkenaan relevan.

“Keadilan perlu ditegakkan. Saya akan pastikan anggota yang bersalah dikenakan tindakan undangunda­ng kerana ia menjejaska­n imej, kebajikan dan integriti perkhidmat­an,” katanya.

Polis rampas CCTV

Sementara itu, Gan berkata, polis telah menahan tiga lelaki berumur 29 hingga 44 tahun bagi membantu siasatan. Mereka bertugas bagi syif Jumaat jam 10 pagi hingga 11 malam.

Pagi semalam, ketiga-tiga mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung dan direman selama tujuh hari.

Gan berkata, polis turut merakam percakapan lapan tahanan yang ada di lokasi dan 11 pengawal bilik tahanan yang bertugas di tempat kejadian.

“Selain itu, polis merampas CCTV, tujuh T baton, sebuah buku log bertugas, buku log SOP (perintah tetap bilik tahanan) dan beberapa telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya.

 ??  ?? Polis semalam menahan reman tiga anggota TLDM berusia 29 hingga 44 tahun bagi membantu siasatan kes kematian Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat dan Muhammad Lailatulim­an Mohd Sukri yang meninggal ketika dalam Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi,...
Polis semalam menahan reman tiga anggota TLDM berusia 29 hingga 44 tahun bagi membantu siasatan kes kematian Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat dan Muhammad Lailatulim­an Mohd Sukri yang meninggal ketika dalam Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi,...
 ?? [FOTO MUHAIZAN YAHYA/BH] ?? Ahmad Kamarulzam­an bersalaman dengan veteran Pasukan Khas Laut pada Majlis Penganuger­ahan Pingat Jasa Malaysia sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-35 PASKAL di Pangkalan TLDM Lumut.
[FOTO MUHAIZAN YAHYA/BH] Ahmad Kamarulzam­an bersalaman dengan veteran Pasukan Khas Laut pada Majlis Penganuger­ahan Pingat Jasa Malaysia sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-35 PASKAL di Pangkalan TLDM Lumut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia