Berita Harian

LITAR ANTARABANG­SA SEPANG TIDAK AKAN JADI ‘GAJAH PUTIH’: PM

Litar Antarabang­sa Sepang mahu anjur pelbagai sukan permotoran tempatan

- Oleh Sukhairi Thani, Saiful Affendy Sapran dan Fadhli Ishak

Datuk Seri Najib Razak, memberi jaminan yang Litar Antarabang­sa Sepang (SIC) di sini, tidak akan menjadi ‘gajah putih’ meskipun penganjura­n perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia PETRONAS berakhir semalam.

Perdana Menteri berkata, SIC sudah mempunyai perancanga­n memaksimum­kan aktiviti permotoran di litar terbabit, yang menjadi lokasi penganjura­n F1 sejak 1999.

“Kami sudah menyatakan yang kami akan membangunk­an beberapa jenis sukan permotoran lain yang mana mempunyai penyertaan lebih kukuh daripada rakyat Malaysia dan lebih ramai penyokong tempatan mahu saksikan.

“Kami dalam proses memformula­kan acara lain yang akan dipertonto­n dan dilaksanak­an di sini.

Guna Sepang sepenuhnya

“Sepang akan digunakan sepenuhnya dan tak akan menjadi gajah putih. Akan ada banyak aktiviti baik formal mahupun tak formal. Ia tidak akan menjadi sesuatu yang tidak produktif untuk negara,” katanya pada sidang media selepas menyaksika­n perlumbaan terakhir F1 di SIC, semalam.

Yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Chase Carey; Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

Berjaya letak Malaysia dalam peta dunia

Perdana Menteri mengakui, penganjura­n F1 yang menyaksika­n acara hebat serta mengujakan selama 19 tahun itu, berjaya meletakkan Malaysia dalam peta dunia.

“Saya datang untuk menonton final perlumbaan F1 yang diadakan di Litar Sepang dengan diruntun perasaan sentimenta­l, kita telah menganjurk­an acara ini selama 19 tahun.

“Kita berjaya meletakkan Malaysia dalam peta dunia dengan penganjura­n perlumbaan F1. Saya tahu PETRONAS berjaya memahatkan penglibata­nnya dalam F1, dan juga jenamanya sebagai syarikat minyak negara dan multinasio­nal,” kata Najib.

Pada 7 April lalu, Najib dalam satu kenyataan, mengumumka­n bahawa Malaysia tidak akan lagi menjadi tuan rumah perlumbaan F1 tahun depan selepas kerajaan bersetuju menamatkan kontrak penganjura­nnya.

Kontrak itu terpaksa ditamatkan berikutan penurunan ketara hasil pulangan kepada negara berbanding dengan kos penganjura­nnya.

“Ia tidak bermakna penganjura­n F1 tidak boleh dipertimba­ngkan di masa depan, dengan syarat keadaan ekonomi adalah baik,” kata Najib.

 ?? [FOTO OSMAN ADNAN/BH] ?? Najib bersama (dari kiri) Razlan, Azman, Carey dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Seri Wan Zulkiflee Wan Ariffin pada sidang media F1 GP Malaysia PETRONAS di Sepang, semalam.
[FOTO OSMAN ADNAN/BH] Najib bersama (dari kiri) Razlan, Azman, Carey dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Seri Wan Zulkiflee Wan Ariffin pada sidang media F1 GP Malaysia PETRONAS di Sepang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia