Berita Harian

Wira selamat 6 rakan terima Pingat Hang Tuah

-

Bangi: Wira cilik, Mohamad Farid Iskandar Mohd Zulkarnain, 12, dianugerah­kan Pingat Hang Tuah atas keberanian­nya menyelamat­kan enam rakan dalam kebakaran asrama Maahad Tahfiz alquran Wartabiyat­ul Islamiah, Baling, Kedah, Ogos lalu.

Anak sulung daripada dua beradik itu menerima trofi, sijil dan wang tunai RM5,000 daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Perasmian Bulan Kebajikan Negara 2017 di Pusat Latihan Perindustr­ian dan Pemulihan (PLPP) di sini, semalam.

Anugerah Pingat Hang Tuah diperkenal­kan pada 1960 diberikan kepada tokoh kanak-kanak negara berdasarka­n keberanian luar biasa mereka.

Dalam kejadian pada jam 1.50 pagi pada 6 Ogos itu, Mohamad Farid Iskandar berkata, dia terjaga daripada tidur dan melihat kepulan asap dari bilik asrama tingkat tiga Maahad Tahfiz al-quran Wartabiyat­ul Islamiah.

Dia kemudian mengejutka­n enam rakan yang sedang lena. Tanpa berfikir panjang, dia mencapai baldi dan paip air, diikuti rakannya untuk memadam kebakaran, namun gagal kerana api marak.

Dalam keadaan getir itu, Mohamad Farid Iskandar dan rakan bergegas turun untuk menyelamat­kan diri, tetapi seorang rakannya dikenali Hazwan jatuh tersungkur.

“Saya berpatah balik untuk memapah rakan ke tempat selamat,” katanya.

Masih segar dalam ingatan

Mohamad Farid Iskandar berkata, pengalaman itu masih segar dalam ingatannya dan diharapkan dapat menjadi contoh kepada kanak-kanak lain untuk mengambil tindakan sama dengan segera menyelamat­kan diri serta rakan apabila berlaku kecemasan.

“Saya sendiri tidak tahu macam mana boleh timbul rasa berani. Saya rasa boleh (membantu) sebab fikir untuk selamatkan rakan melalui tangga belakang,” katanya yang ditemani ibunya, Murni Hayati Abdul Ghani, 31.

Dalam kejadian itu, aras tiga bangunan tahfiz berkenaan terbakar, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Aras paling atas maahad itu menempatka­n bilik stor dan dewan, manakala aras dua digunakan sebagai ruang tidur. Buku, al-quran dan pakaian disimpan di tingkat bawah.

 ?? [FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN/BH] ?? Ahmad Zahid menyampaik­an Anugerah Pingat Hang Tuah dan replika cek kepada Mohamad Farid Iskandar sambil diperhatik­an Rohani serta Murni Hayati (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian Bulan Kebajikan Negara 2017 di PLPP Bangi, semalam.
[FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN/BH] Ahmad Zahid menyampaik­an Anugerah Pingat Hang Tuah dan replika cek kepada Mohamad Farid Iskandar sambil diperhatik­an Rohani serta Murni Hayati (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian Bulan Kebajikan Negara 2017 di PLPP Bangi, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia