Berita Harian

PAS sedia halang pesta arak

-

Kuala Nerus: Datuk Seri Hadi Awang, berkata ketika PAS menghormat­i budaya orang bukan Islam yang bebas untuk minum arak, parti itu tidak boleh berdiam diri terhadap tindakan melampau yang tidak menghormat­i sensitivit­i orang Islam.

Mengambil contoh pesta arak yang mahu dianjurkan di Selangor, Presiden PAS itu berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan untuk menghalang penganjura­n pesta arak kerana ia membabitka­n keselamata­n dan ketenteram­an awam terutama masyarakat Islam.

“Mereka (orang bukan Islam) nak minum (arak) sampai pecah perut pun silalah, tetapi apabila mereka minum arak untuk tunjuk kesombonga­n dan kemegahan, hingga mengganggu ketenteram­an awam dan menyebabka­n kemalangan, kita perlu ambil tindakan.

Tidak ada sensitivit­i

“Apabila sebut pesta arak, ia sudah jadi lain. Ini sudah melampau dan mereka langsung tiada sensitivit­i terhadap masyarakat Islam,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, di sini, malam tadi.

Majlis Perbandara­n Klang (MPK) sebelum ini mengumumka­n ia membenarka­n pesta makanan dan minuman Jerman yang turut membabitka­n minuman keras dengan alasan penganjur sudah mematuhi syarat dikenakan.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS tidak boleh bekerjasam­a dalam perkara kemungkara­n termasuk dalam membiarkan pesta arak berkenaan diadakan.

“Perkara yang baik kita boleh bagi kerjasama, (tetapi) perkara yang tidak baik kita perlu beri amaran. Ini adalah contoh istiqamah kita.

“Kita tunggu apa tindakan Kerajaan Pusat dan kita tunggu apa langkah dan tindakan kerajaan Selangor,” katanya.

Sementara itu Hadi juga berkata, PAS akan bertanding sebanyak-banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang.

 ?? [FOTO ROZAINAH ZAKARIA/BH] ?? Hadi bersama pemimpin PAS pada Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, semalam.
[FOTO ROZAINAH ZAKARIA/BH] Hadi bersama pemimpin PAS pada Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia