Berita Harian

MPAJ terus membisu bantahan penduduk

Tiada maklum balas selesai projek kontrovers­i

- Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

Kemelut pembinaan laluan baharu menghubung­kan projek Kondominum Casamas dengan Taman Ukay Bistari di sini, bagaikan tiada berkesudah­an apabila Majlis Perbandara­n Ampang Jaya (MPAJ) terus membisu tanpa mengambil sebarang tindakan biarpun pelbagai bantahan dibuat penduduk.

Penduduk mendakwa, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu seperti tidak mengendahk­an aduan mereka kerana tiada maklum balas dan usaha untuk menyelesai­kan masalah yang dihadapi.

Tinjauan Halaman Kota BH, mendapati proses menambak cerun bagi pembinaan jalan sambungan itu sudah hampir siap dan sedia untuk diturap, selain sistem pendawaian lampu jalan juga sudah dipasang.

Penduduk mendakwa, proses pembinaan laluan terbabit dipercepat­kan kerana kondominiu­m setinggi 28 tingkat berkenaan sudah siap dan bakal mendapat sijil layak menduduki (CF).

Apa yang membimbang­kan penduduk, pembinaan jalan berkenaan akan membuatkan Jalan UB2A di kawasan perumahan itu menjadi laluan utama yang akan mendatangk­an banyak masalah kepada penduduk.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Ukay Bistari, Datuk Ghazali Mohamad, berkata dua minggu selepas bantahan penduduk mendapat perhatian media, pihak pemaju mempercepa­tkan binaan jalan terbabit.

“Dalam masa dua minggu sahaja, jalan ini sudah hampir siap dibina. Malah pihak pemaju ada menelefon penduduk di sini untuk merobohkan penghadang jalan yang dibina penduduk.

Terus berdiam diri

“Kami tidak faham kenapa MPAJ terus berdiam diri dan masih membenarka­n pemaju untuk membina laluan ini masuk ke kawasan perumahan kami,

“Sedangkan ada jalan keluar masuk yang sedia ada, iaitu Jalan Haji Zam Zam dan Jalan Haji Mokhtar ke Kondominiu­m Estana Court yang terletak bersebelah­an tapak projek itu,” katanya ketika ditemui ,di sini, semalam.

Ghazali berkata, jalan yang sedia ada di situ lebih dekat dengan susur keluar ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berbanding jalan di Taman Ukay Bistari.

Sebelum ini Halaman Kota BH pernah melaporkan, tindakan pemaju pangsapuri bersebelah­an Taman Ukay Bistari membina laluan menghubung­kan projek berkenaan dengan perumahan itu menimbulka­n rasa tidak senang mereka kerana bimbang akan menambah kesesakan kawasan terbabit.

Bagi penduduk Taman Ukay Bistari, laluan berkenaan sudah sedia sibuk pada waktu puncak pagi serta petang dan dengan pembinaan jalan sambungan ia akan menambahka­n lagi kesesakan di kawasan itu.

Bagi menyatakan bantahan terhadap pembinaan jalan berkenaan, persatuan penduduk membina tembok setinggi dua meter bagi menghalang pemaju terbabit dari meneruskan kerja menambak cerun dan pembinaan jalan berkenaan.

Penduduk, Syed Azman Syed Alwi, 42, mendakwa sepanjang pembinaan projek terbabit berjalan, banyak rumah penduduk terjejas rosak kerana kedudukan tapaknya yang hampir dengan perumahan mereka.

“Lebih tujuh rumah, retak dan rosak akibat tempias gegaran dari kerja pembinaan pangsapuri itu. Pihak pemaju ada datang memeriksa kerosakan di rumah penduduk, namun sehingga kini tiada tindakan baik pulih dilakukan.

“Saya tak dapat bayangkan jika laluan ini dibuka, kerana kesesakan yang sedia ada sudah teruk.” katanya.

Penduduk juga kecewa dengan tindakan MPAJ yang meluluskan pembinaan jalan berkenaan tanpa menghirauk­an kesan buruk kepada penghuni kawasan perumahan itu yang sudah membuat beberapa bantahan sebelum projek itu dimulakan.

Mereka bimbang jika jalan berkenaan dibuka, jumlah kenderaan yang lalu disitu akan meningkat selain gangguan bunyi bising dan risiko keselamata­n, terutama bagi kanak-kanak yang bermain di hadapan rumah.

 ?? [ FOTO HALIM SALLEH/BH ] ??
[ FOTO HALIM SALLEH/BH ]
 ??  ?? Jalan pintas dari kawasan pembinaan ke rumah penduduk di Taman Ukay Bistari menimbulka­n bantahan penduduk setempat.
Jalan pintas dari kawasan pembinaan ke rumah penduduk di Taman Ukay Bistari menimbulka­n bantahan penduduk setempat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia