Berita Harian

Pencuci kapal menangis dihukum mati

Izwanuddin didapati bersalah tikam, bakar mayat ahli perniagaan

- Oleh Zuraidah Mohamed

Seorang pencuci kapal hanya mampu menangis sebaik dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, selepas didapati bersalah membunuh seorang ahli perniagaan yang juga jutawan dengan menikam mangsa sebelum membakar mayatnya, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak, menjatuhka­n hukuman itu terhadap tertuduh, Izwanuddin Kasim, 37, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulka­n keraguan munasabah terhadap kes itu pada akhir pembelaan.

Dalam penghakima­nnya, beliau berkata, keterangan tertuduh ketika perbicaraa­n membela diri hanya bergantung kepada keterangan yang dikemukaka­n oleh seorang saksi pendakwaan yang sebelum itu turut dituduh bersamasam­a.

Selain itu, katanya, tertuduh yang bekerja di Singapura ialah orang terakhir atau satu-satunya individu yang bersama-sama mangsa sepanjang kejadian itu bermula dari pertengkar­an di perumahan mangsa di Johor Bahru sehingga ke tempat pembakaran mayat di kebun sawit di Batu Pahat.

“Mahkamah sudah meneliti sepenuhnya keterangan saksi pendakwaan serta hujahan dan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktika­n kes melampaui keraguan munasabah.

“Walaupun tiada keterangan mana-mana saksi yang menyatakan tertuduh menikam mangsa, apa yang dilihat ialah keterangan mengikut keadaan yang mana di setiap lokasi kejadian dari Johor Bahru ke Batu Pahat, tertuduh berada bersama-sama mangsa sepanjang masa.

Tikaman di dada

“Ada keterangan saksi yang menyatakan senjata buku lima yang mempunyai sebilah pisau lipat berada dalam pegangan tertuduh sepanjang kejadian, sekali gus sepadan dengan keterangan pakar patologi yang mengesahka­n mangsa meninggal dunia akibat tikaman di dada yang menembusi jantung oleh objek tajam,” katanya.

Berdasarka­n kertas pertuduhan, Izwanuddin didakwa bersamasam­a Noriskanda­r Zainal Yahya yang juga warga Singapura, membunuh Yong Boon Cheong yang berusia 54 tahun ketika kejadian di sepanjang Jalan Skudai, Danga Bay, di sini antara 6 pagi hingga 7 pagi, 4 Julai 2014.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanap­un, ketika perbicaraa­n yang bermula Mac 2015, pihak pendakwaan mengemukak­an pertuduhan pindaan terhadap Noriskanda­r mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana membantu melupuskan mayat dan lelaki itu dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Saini mengemukak­an 28 saksi pendakwaan dan tertuduh yang diwakili peguam, Nor Shahid Abd Malik dan Mohd Salihin tampil sebagai saksi pembelaan.

Selepas dijatuhkan hukuman, tertuduh dilihat menangis sambil dipujuk oleh rakan-rakannya.

 ?? [FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN/BH] ?? Izwanuddin (kanan) dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, selepas didapati bersalah membunuh seorang jutawan dengan menikam mangsa sebelum membakar mayatnya, tiga tahun lalu.
[FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN/BH] Izwanuddin (kanan) dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, selepas didapati bersalah membunuh seorang jutawan dengan menikam mangsa sebelum membakar mayatnya, tiga tahun lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia