Berita Harian

Kumpulan Brahim‘s perluas pasaran ke Singapura

-

Kumpulan Brahim‘s Dewina, pengeluar produk makanan sedia dimakan (MRE) dan katering industri menyasar untuk meluaskan pasarannya di Singapura pada tahun depan.

Pengurus Pemasaran Kumpulan Brahim‘s Dewina, Fazil Othman, berkata pada masa ini pihaknya sedang mengadakan perbincang­an dengan Kerajaan Singapura bagi tujuan berkenaan dan dijangka dapat diselesaik­an pada tahun depan.

“Ia akan menambah jumlah negara yang kita eksport produk makanan, setakat ini kita sudah mengekspor­t 25 produk Brahim‘s di Eropah.

“Singapura akan menjadi destinasi baru untuk dipasarkan pada tahun depan,” katanya ketika ditemui pada siri Jelajah Bijak Memasak Membantu Keluarga di Pasa raya Giant, di Kuantan, kelmarin.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Holding Dewina Holdings Sdn Bhd, Nur Fatin Ibrahim.

Pada siri jelajah yang berakhir semalam, sebanyak 10 barang elektrik termasuk hamper menjadi milik orang awam untuk membuat cabutan selepas membeli manamana produk makanan Brahim‘s, selain pengunjung diberi peluang merasai sendiri produk itu selepas dimasak secara terbuka.

Produk kesembilan

Dalam pada itu, Fazil berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjualan produk nasi arab kambing yang diperkenal­kan pada pertengaha­n tahun lalu dan sudah mencapai sasaran jualan 50 peratus.

Katanya, nasi arab kambing adalah produk kesembilan dikeluarka­n mereka selepas nasi goreng kampung, nasi goreng cendawan dan keju, nasi goreng ayam, nasi briyani ayam dan kambing, nasi lemak dan nasi goreng ikan masin.

“Kita akan bawa produk nasi arab kambing ini ke Pantai Timur untuk memperkena­lkan kepada umum bahawa nasi itu selamat dimakan dan dijamin halal untuk seisi keluarga,” katanya.

Katanya, dia yakin keluaran produk nasi arab kambing itu akan terus berkembang di pasaran memandangk­an harga yang dijual hanya RM13 bagi setiap satu paket.

“Selain itu, Brahim‘s turut mempunyai produk lauk segera seperti tiga rasa, kuah mee kari, rendang ayam dan daging dijual antara harga RM5 hingga RM8 bagi setiap satu paket,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia