Berita Harian

Johor bakal gubal Pelan Induk Pengurusan Air

Cari kaedah terbaik tangani sumber bekalan makin kritikal

- Oleh Zuraidah Mohamed

Johor akan menggubal Pelan Induk Pengurusan Air bagi menyatukan rancangan dan tindakan berkaitan bekalan air yang mapan berikutan sumbernya yang semakin kritikal, manakala penggunaan­nya semakin bertambah.

Pengerusi Jawatankua­sa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad, berkata pelan itu termasuk menggarisk­an kaedah pengurusan sumber, langkah memulihkan sungai tercemar, meneroka sumber air bawah tanah serta mencari jaminan bekalan air minuman berkualiti kepada penduduk negeri ini.

Beliau berkata, ketika ini kerajaan negeri sedang mengumpul pelbagai input bagi menggubal pelan induk itu, termasuk maklumat yang akan dikumpulka­n melalui cetusan pakar pada Water Leader Forum 2017 selama dua hari di Hotel Mutiara Johor Bahru, yang bermula hari ini.

11 pembentang kertas kerja

Katanya, 11 pembentang kertas kerja membabitka­n pelbagai disiplin dan tajuk berkaitan bekalan air serta kira-kira 100 peserta dari kalangan pegawai tinggi, penggubal dasar serta pengurusan mengenai air yang mewakili kementeria­n, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan universiti akan menghadiri forum itu.

Kerajaan negeri, katanya, mempunyai data berhubung kajian sumber bekalan air 2010-2060 dan Kajian Air Kebangsaan yang membabitka­n Johor, tetapi masih belum mencukupi untuk digunakan sebagai input bagi menggubal satu pelan induk pengurusan air bagi keperluan negeri ini.

“Kami akan menganjurk­an Water Leader Forum 2017 bertemakan Water as a Resource and for Livelihood kesinambun­gan daripada Johor Water Forum yang diadakan pada 2015.

“Melalui forum ini nanti, kerajaan negeri bakal memperoleh dan akan memasukkan input baharu berkaitan perbekalan air minuman, malah keperluan industri. Input ini sangat kritikal untuk melengkapk­an data sedia ada bagi melakar Pelan Induk Pengurusan Air yang mapan bagi keperluan Johor satu tempoh jangka panjang,” katanya kepada BH di sini.

Hasni berkata, pembentang kertas kerja ialah Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; pensyarah di Jabatan Kejurutera­an Awam dan Alam Sekitar, Universiti Nasional Seoul, Dr Mooyoung Han; Setiausaha Agung Majlis Keselamata­n Air Jepun, Dr Kotaro Takemura dan Pengarah Utama Jasa Tirta, Indonesia, Raymond Valiant Ruritan.

Bincang masalah bekalan air

Johor Water Forum yang diadakan pada 2015 bagi mencari kaedah menyelesai­kan masalah bekalan air berjadual yang kerap terputus terutama di Kluang, Pasir Gudang, Mersing dan sebahagian daerah Kota Tinggi walaupun empat loji pemprosesa­n utama mampu menghasilk­an lebih 2,000 juta liter air bersih sehari.

“Adakah kerana keempat-empat loji itu tidak mendapat sumber air yang cukup atau ada air yang tercemar ataupun kawasan berkenaan pesat membangun sehingga menjadikan kedudukan loji itu mungkin tidak sesuai? Itu persoalan yang ada di hadapan kita ketika itu.

Cari pendekatan terbaik

“Justeru, Johor Water Forum sebagai entiti bukan kerajaan mengambil inisiatif menghimpun­kan pakar dari dalam dan luar negara bagi mencari jalan dan pendekatan yang terbaik, melalui pengalaman yang ada pada pakar dan negara mempunyai resipi kejayaan untuk mengurus sumber dan membekalka­n air berkualiti,” katanya.

Peserta lain yang akan membentang­kan kertas kerja pada forum berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidik­an dan Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman; Timbalan Pengurus Besar UES Holdings Pte Ltd, Dr Zhou Thong (Singapura); Ketua Pengarah Institut Penyelidik­an Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Datuk Ir Dr Azuhan Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka, Datuk Mohd Khalid Nasir dan Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Datuk Abdul Kadir Mohd Din.

 ?? [FOTO ZAIN AHMED/BH] ?? Hasni melihat risalah mengenai Water Leader Forum 2017 yang berlangsun­g selama dua hari di Hotel Mutiara Johor Bahru, bermula hari ini.
[FOTO ZAIN AHMED/BH] Hasni melihat risalah mengenai Water Leader Forum 2017 yang berlangsun­g selama dua hari di Hotel Mutiara Johor Bahru, bermula hari ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia