Berita Harian

Vettel akhiri saingan dengan bergaya

-

Sepang: Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel mengharung­i hari perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia PETRONAS 2017 dengan penuh gaya semalam apabila melakar penamat keempat selepas bermula dari petak paling belakang.

Kru Ferrari berjaya menyelesai­kan masalah turbo dialami pemandu itu pada sesi kelayakan kelmarin dalam tempoh singkat, namun nasib malang terus menimpa Scuderia apabila rakan sepasukann­ya yang sepatutnya bermula dari petak kedua, Kimi Raikkonen turut mengalami masalah sama sebelum bermulanya perlumbaan.

Vettel mencatat 1 jam 30 minit 38.652 saat pada perlumbaan yang menyaksika­n pemandu Red Bull, Max Verstappen menyambut ulang tahun ke-20 kelmarin dengan melakar kemenangan pertamanya musim 2017 di sini.

Lebih menakjubka­n, Vettel turut memecah rekod sepusingan terpantas dilakukan Juan Pablo Montoya pada 2004 1:34.223s dengan catatan baharu, 1:34.080s pada pusingan ke41 daripada 56 pusingan keseluruha­n.

Ada lima pusingan lagi

Apapun, kebangkita­n juara dunia empat kali itu di sini dicemari dengan insiden sebaik saja perlumbaan tamat yang menyaksika­n tayar kanan belakang keretanya tercabut selepas dilanggar pemandu Williams, Lance Stroll.

Vettel selepas itu menumpang jentera Sauber yang dipandu Pascal Wehrlein sekali gus menunjukka­n keakraban yang dimiliki pemandu F1.

“Adakah ia boleh berlaku?,” kata Vettel menerusi radio kepada pasukannya. “Stroll baharu saja melanggar saya. Ini sesuatu yang serius.”

Namun penamat keempat itu jelas terus menjarakka­n lagi kedudukan Vettel dengan pendahulu keseluruha­n pemandu, Lewis Hamilton yang kini ketinggala­n 34 mata di tangga kedua.

Musim F1 2017 kini berbaki lima pusingan saja lagi dengan destinasi selepas ini ialah Litar Suzuka di Jepun minggu depan.

 ??  ?? Vettel menumpang jentera Wehrlein selepas tayar kanan belakang keretanya tercabut dilanggar pemandu Williams, Stroll.
Vettel menumpang jentera Wehrlein selepas tayar kanan belakang keretanya tercabut dilanggar pemandu Williams, Stroll.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia