Berita Harian

Final ke-100 padam hasrat terus bersara

Saya perlu akui, sebulan yang lalu saya hampir membuat keputusan untuk bersara daripada sukan badminton selepas kalah pada Kejohanan Dunia” Selepas perbincang­an itu, saya mendapat gambaran yang lebih jelas lagi untuk menentukan masa depan saya. Saya tahu

-

Jika diikutkan, penulisan kali ini sebenarnya status saya adalah sebagai bekas pemain badminton kebangsaan.

Saya perlu akui, sebulan yang lalu saya hampir membuat keputusan untuk bersara daripada sukan badminton. Ia susulan kekalahan saya dalam pusingan pertama Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, pada bulan lalu.

Ketika itu fikiran saya kosong dan tidak dapat menerima kekalahan berkenaan biarpun saya bekerja keras sepanjang latihan bagi membuat persiapan menghadapi kejohanan berkenaan. Saya sendiri tidak sangka saya akan tewas di pusingan awal.

Ia sememangny­a satu situasi yang sukar untuk saya terima pada ketika itu. Selepas kekalahan itu, pihak media bertanyaka­n kepada saya soalan adakah saya akan bersara?

Jujur saya katakan, dalam fikiran saya pada masa itu, memang saya mahu bersara. Begitupun, saya sekadar mengatakan saya tiada jawapan itu soalan itu.

Saya minta supaya diberi ruang dan masa untuk saya membuat keputusan mengenai masa depan saya.

Namun, jauh di sudut hati saya, saya merasakan kejohanan di Glasgow adalah yang terakhir untuk saya.

Sejurus selepas kekalahan itu, saya menukar tiket penerbanga­n pulang saya ke Malaysia. Ketika itu, saya sedar tempat yang paling terbaik untuk saya dalam situasi berkenaan adalah berada di samping keluarga.

Saya cukup bertuah kerana mempunyai keluarga yang sentiasa memberi sokongan kepada saya untuk terus berjaya dalam profesion.

Fikiran saya benar-benar kosong sebaik tiba di Kuala Lumpur. Saya langsung tidak memegang raket sejak pulang, malah saya tidak menonton satu perlawanan sekalipun dalam Kejohanan Dunia.

Saya menghabisk­an masa saya bersama keluarga, saya joging, berenang dan melakukan senaman di gimnasium bagi menenangka­n fikiran saya.

Hanya selepas itu, saya dapat kembali berfikir dengan betul. Saya mengenal pasti punca kekalahan saya di Glasgow yang mana saya terlalu meletakkan tekanan kepada diri saya sendiri. Ia akan menjadi pengajaran berguna untuk saya.

Saya juga mengadakan perbincang­an dengan Penaung Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sebelum membuat keputusan mengenai masa depan saya.

Tahu masih upaya beri sumbangan

Selepas perbincang­an itu, saya mendapat gambaran yang lebih jelas lagi untuk menentukan masa depan saya. Saya tahu saya masih boleh memberi sumbangan kepada sukan badminton negara. Jadi, saya memutuskan untuk terus bermain.

Banyak kejohanan utama akan berlangsun­g tahun depan seperti Piala Thomas, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Kejohanan Dunia. Saya percaya ia adalah menjadi tanggungja­wab saya untuk terus bermain bagi mengharumk­an nama Malaysia.

Usia saya juga semakin meningkat, jadi saya tidak perlu terlalu kecewa disebabkan kekalahan tertentu.

Tambahan lagi, saya masih berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, jadi saya tidak perlu terlalu meletakkan tekanan kepada diri sendiri. Pendekatan saya sekarang mudah sahaja, iaitu hanya menikmati setiap perlawanan yang dihadapi.

Memanglah menang dan kalah adalah sebahagian daripada perlawanan. Selagi saya tahu saya sudah memberikan aksi terbaik, tiada apa yang perlu saya kecewakan.

Walaupun saya gagal dalam misi memburu gelaran juara pada Kejohanan Dunia, saya cukup terharu dengan sokongan daripada semua pihak terutama peminat badminton negara.

Saya perlu sebut perkara ini kerana melihatkan sesuatu yang mengejutka­n ketika saya hadir bagi menyaksika­n final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Peminat rata-rata bersorak nama saya dengan kuat sekali dan itulah yang membuatkan saya berasakan yang saya perlu terus berkhidmat untuk kejayaan badminton negara seterusnya.

Sokongan kuat itulah yang menjadi kekuatan saya kembali beraksi di Terbuka Jepun, pada minggu lalu.

Walaupun saya tidak dapat merekodkan gelaran ketujuh dalam kejohanan itu, saya berasakan pencapaian saya sepanjang menyertai kejohanan bertaraf Siri Super itu sesuatu yang cukup positif.

Tiada istilah kecewa dalam diri saya sebaliknya saya lebih suka melihat pencapaian keseluruha­n sepanjang menyertai kejohanan itu yang disifatkan sudah cukup untuk membuktika­n kredibilit­i saya sebagai pemain.

Saya tidak kecewa kerana saya sudah sembilan kali mara ke final Terbuka Jepun dan sudah memenangi enam gelaran juara. Ia pencapaian yang sudah cukup baik untuk saya.

Berlatih hadapi Terbuka Perancis, Denmark

Malah, kejayaan mara ke final Terbuka Jepun kali ini adalah yang ke-100 sepanjang kerjaya saya dan ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh manamana pemain.

Malah, prestasi saya ketika menentang pemain Denmark, Viktor Axelsen yang juga juara dunia 2017 dalam aksi final adalah yang terbaik berbanding empat perlawanan awal sebelum itu.

Kini, saya mempunyai tempoh selama dua minggu bagi melakukan persiapan bagi menghadapi Terbuka Perancis dan Terbuka Denmark. Saya akan terus bekerja keras bagi melakukan yang terbaik dalam setiap kejohanan saya sertai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia