Berita Harian

Sultan Hassanal Bolkiah diarak keliling kota

Ribuan rakyat banjiri Bandar Seri Begawan raikan acara kemuncak

-

Bandar Seri Begawan

Sambutan Jubli Emas pemerintah­an Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah diraikan dengan acara kemuncak perarakan sekeliling ibu kota yang dibanjiri rakyat dari seluruh pelusuk negara untuk menyaksika­n perayaan bersejarah ini.

Sejak awal minggu lagi, bendera kebanggaan Brunei sudah berkibar megah di serata tempat di sekitar bandar raya, di bangunan kerajaan mahupun swasta.

Tembakan meriam 21 das dilepaskan sebagai menyempurn­akan Majlis ‘Gendang Jaga-jaga’ di bangunan Lapau di sini pada Selasa lalu, tanda bermula sambutan perayaan.

Simbolikny­a, Brunei mempamerka­n kepada dunia bahawa seluruh rakyat negara kaya sumber minyak itu menyanjung tinggi pemerintah­an berkonsepk­an ‘Melayu Islam Beraja’ di bawah kepemimpin­an baginda.

Bandar raya Darussalam atau bermaksud ‘Rumah Aman/damai’, menyajikan acara kemuncak majlis perarakan pasangan diraja Brunei mengelilin­gi laluan sekitar 3 kilometer (km) dari hadapan Balai Bomba dan Penyelamat di pusat bandar ini.

Perarakan itu melalui beberapa tempat utama seperti Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, sekitar Dermaga Diraja dan bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebelum kembali di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat.

Sambutan bertambah meriah dengan kehadiran wartawan dari dalam dan luar negara untuk membuat liputan.

Sultan Brunei Ke-29

Sebagai anakanda sulung Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddien, pada 5 Oktober 1967, Sultan Hassanal Bolkiah yang ketika itu menuntut di Kuala Lumpur, mengambil alih tempat ayahandany­a meneraju negara sebagai Sultan Brunei Ke-29.

Baginda meneruskan legasi kepemimpin­an kesultanan berlanjuta­n sejak lebih 600 tahun dahulu.

Pada sebelah pagi, diadakan majlis menghadap Sultan Hassanal Bolkiah dan Permaisuri Raja Isteri Pengiran Anak Saleha yang dihadiri kerabat diraja serta orang kenamaan di Istana Nurul Iman di sini.

Sultan Hassanal Bolkiah bertitah, sambutan perayaan ini milik bersama Raja dan rakyat yang hubunganny­a tiada tembok pemisah dengan Raja wajib berlaku adil dan kewajipan rakyat pula mentaati Raja, sama-sama memegang amanat yang menjadi rukun kehidupan di Brunei.

Usungan diraja

Dari Istana Nurul Iman, baginda bersama permaisuri berlepas dengan kenderaan diraja menuju pusat bandar untuk dibawa bersemayam di atas usungan diraja. Pasangan diraja mengelilin­gi pusat bandar, menyempurn­akan acara sambutan.

Sultan Hassanal Bolkiah memahat nama sebagai pemimpin cukup penting dalam lipatan sejarah kelahiran Brunei yang bebas merdeka apabila pada tanggal 1 Januari 1984, baginda mengisytih­arkan Brunei sebagai negara merdeka.

Dari sudut hubungan Malaysiabr­unei, kenyataan Wisma Putra berkata, ia berada ‘pada tahap terbaik’ sekitar setahun lalu terutama semasa rundingan tahunan ke-20 pemimpin kedua-dua negara.

Rundingan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Sultan Hassanal Bolkiah ketika itu berlangsun­g dalam suasana mesra dan konstrukti­f, membincang­kan isu berkaitan hubungan dua hala.

Bagi Malaysia, kedudukan Brunei di antara Sabah dan Sarawak, menambahka­n kepentinga­n hubungan itu demi melengkapk­an perjalanan lebih lancar di laluan lebih 2,000km Lebuhraya Pan Borneo yang bakal siap dalam beberapa tahun lagi, melintasi Brunei.

Perarakan semalam berakhir sekitar jam 12 tengah hari, namun acara sambutan sempena Jubli Emas pemerintah­an Sultan Brunei masih belum berakhir.

 ?? [ FOTO AFP] ?? Sultan Hassanal Bolkiah dan Permaisuri Raja Isteri Pengiran Anak Saleha diarak mengelilin­gi Bandar Seri Begawan sempena sambutan 50 tahun pemerintah­an Sultan Brunei, semalam.
[ FOTO AFP] Sultan Hassanal Bolkiah dan Permaisuri Raja Isteri Pengiran Anak Saleha diarak mengelilin­gi Bandar Seri Begawan sempena sambutan 50 tahun pemerintah­an Sultan Brunei, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia