Berita Harian

Kerajaan sedia RM13 bilion bantu rakyat miliki rumah

Bantuan di bawah lima program mampu selesaikan isu perumahan

- Oleh Shahrizan Salian

Kerajaan melalui Kementeria­n Kesejahter­aan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan membelanja­kan hampir RM13 bilion di bawah lima program bagi membantu rakyat memiliki rumah.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata bantuan berkenaan secara langsung menyelesai­kan pelbagai isu perumahan, khususnya di kawasan bandar.

Beliau berkata, ia ditambah lagi dengan insentif perumahan lain oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Perumahan Kos Rendah Awam serta perumahan peneroka seperti FELDA dan FELCRA.

Selain itu, katanya, kemudahan perumahan turut disediakan agensi pembanguna­n ekonomi seperti Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Perbadanan PR1MA Malaysia.

“Usaha serta subsidi berkenaan memberi sumbangan besar dalam menyelesai­kan isu perumahan. Penghargaa­n perlu diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Komitmen padu Perdana Menteri secara berterusan menawarkan penyelesai­an kreatif bagi menambah baik isu perumahan untuk rakyat,” katanya.

Noh berkata demikian pada Sidang Kemuncak Hartanah & Perumahan Negara Ke-20 bertemakan ‘Keadaan Industri Hartanah & Perumahan – Di Mana Hala Tuju Kita Dari Sini’, di sini semalam.

Rancang 184 projek PPR

Di bawah kementeria­nnya, Noh berkata, program perumahan teras ialah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dibiayai kerajaan.

Katanya, ia menyaksika­n sebanyak 184 projek PPR dirancang dengan 118 sudah disiapkan bagi menyediaka­n 83,840 unit rumah kepada kumpulan isi rumah berpendapa­tan 40 peratus terendah (B40).

Beliau berkata, kos purata setiap rumah antara RM130,000 hingga RM180,000 yang bermakna kerajaan sudah membelanja­kan lebih RM12 bilion kepada rakyat.

Kerajaan juga, katanya, menyediaka­n bantuan kepada kumpulan berpendapa­tan 40 peratus sederhana (M40) untuk memiliki rumah pertama menerusi dua skim, iaitu Myhome dan Mydeposit.

Myhome ialah program kerjasama dengan pemaju rumah swasta untuk membina lebih banyak rumah mampu milik dengan subsidi sehingga RM30,000. Kerajaan sudah membelanja­kan RM127 juta dalam bentuk subsidi di bawah program itu.

Mydeposit pula inisiatif terbaru dalam Bajet 2017 dengan kerajaan menyediaka­n bantuan 10 peratus deposit atau maksimum RM30,000 bagi membantu pembeli rumah kali pertama.

Setakat 30 Jun lalu, seramai 1,451 rakyat mendapat manfaat daripada program itu, membabitka­n bantuan berjumlah keseluruha­n RM39.2 juta.

 ?? [FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ/BH] ?? Noh (kanan) melihat model projek perumahan pada Sidang Kemuncak Hartanah & Perumahan Negara Ke-20 bertemakan ‘Keadaan Industri Hartanah & Perumahan – Di Mana Hala Tuju Kita Dari Sini’ di Subang Jaya, semalam.
[FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ/BH] Noh (kanan) melihat model projek perumahan pada Sidang Kemuncak Hartanah & Perumahan Negara Ke-20 bertemakan ‘Keadaan Industri Hartanah & Perumahan – Di Mana Hala Tuju Kita Dari Sini’ di Subang Jaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia