Berita Harian

Peniaga kecil dalam talian tak dikenakan cukai

-

Petaling Jaya: Kerajaan tidak akan mengenakan cukai kepada peniaga kecil yang menjalanka­n perniagaan dalam talian apabila Akta Cukai Barang dan Perkhidmat­an 2014 dipinda pada masa akan datang.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata sebaliknya pindaan itu dibuat kerana kerajaan mahu mengenakan cukai kepada syarikat penyedia platform dalam talian dari luar negara.

Katanya, secara dasarnya, kerajaan mahu mengenakan cukai kepada penyedia platform ternama seperti Uber, Airbnb, Grab,amazon dan Google.

“Semua ini adalah syarikat multinasio­nal yang membina platform dan meraih keuntungan yang tinggi apabila berjuta rakyat Malaysia menggunaka­n platform mereka.

“Semua syarikat yang beroperasi di Malaysia dikenakan cukai oleh kerajaan, tetapi platform ini tidak dicukai sedangkan mereka membuat banyak keuntungan di sini.

“Namun bukan mudah untuk mengenakan cukai kepada mereka kerana negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembanguna­n (OECD) sehingga hari ini masih belum dapat mencari penyelesai­an tepat untuk mengenakan cukai kepada mereka.

“Ia masih dalam proses dan sementara itu nikmati sahaja teknologi yang ada sekarang. Semua peniaga kecil, anda boleh teruskan perniagaan anda, kerajaan tidak akan mengenakan cukai kepada anda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaia­n biasiswa dan anugerah Yayasan Jeffrey Cheah kepada pelajar Universiti Sunway, di sini, semalam.

Yang turut hadir Canselor Universiti Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Mengulas lanjut, Johari berkata, menerusi pindaan itu, pihaknya mahu menjadikan suasana perniagaan di Malaysia sama rata kerana tidak adil jika hanya syarikat di Malaysia dikenakan cukai tetapi syarikat asing tidak membayar cukai.

“Ideanya ialah kita mahu mengurangk­an dalam apa yang dipanggil sebagai jurang ketidaksei­mbangan di antara transaksi digital dan bukan digital,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Bank Dunia menyemak naik unjuran pertumbuha­n Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk tahun ini kepada 5.2 peratus daripada 4.9 peratus yang diumumkan Jun lalu, Johari berkata semakan itu susulan pencapaian KDNK Malaysia yang memberangs­angkan pada suku pertama dan kedua lalu.

Katanya, momentum ditunjukka­n Malaysia pada separuh pertama tahun ini adalah baik dan ia adalah sebab mengapa KDNK negara disemak semula.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia