Berita Harian

Polis ambil keterangan 35 saksi

57 barang kes dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaa­n lanjut

-

Oleh Shamsul Kamal Amarudin, Tuty Haryanti Ahmad Rodzi dan Farah Suhaidah Othman

Polis sudah mengambil keterangan daripada 35 saksi bagi membantu siasatan kes kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta kecederaan dua lagi anggota pasukan itu ketika berada dalam tahanan di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata saksi berkenaan termasuk lapan tahanan yang berada di pusat tahanan itu, anggota TLDM lain dan orang awam.

“Pada masa sama, polis merampas 57 barang kes yang sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaa­n lanjut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganuger­ahan Jasa Pahlawan Negara di sini semalam.

228 terima anugerah

Seramai 228 bekas pegawai dan anggota polis menerima anugerah itu yang disampaika­n oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam kejadian Jumaat lalu, dua anggota TLDM meninggal dunia ketika menjalani latihan fizikal di pusat tahanan itu, sebelum dua lagi anggota dimasukkan ke hospital dua hari kemudian akibat kecederaan di perut disyaki didera.

Mohamad Fuzi berkata, dalam tempoh kejadian, seramai 10 anggota TLDM menjadi tahanan di unit berkenaan kerana kesalahan mengikut Akta Angkatan Tentera 1972 , Kaedah-kaedah Acara-acara Angkatan Tentera (Penjaraan Dan Tahanan) 1976, Perintah Majlis Angkatan Tentera Bil 4 Tahun 1982.

Beliau berkata, polis mungkin memohon menyambung reman semua suspek bagi melengkapk­an lagi siasatan.

“Laporan forensik di tempat kejadian, komputer dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), perubatan dan kimia masih dalam tindakan dan sedang diproses oleh pakar berkaitan,” katanya.

Video cuba kait kes dera

Sementara itu, di Port Dickson, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Mohamed Nor, kesal dengan tindakan pihak yang sengaja menyebarka­n klip video lama, kononnya memaparkan rakaman anggota tentera didera.

Beliau berkata, klip video itu adalah rakaman ketika latihan pasukan khas beberapa tahun lalu dan tindakan sudah diambil terhadap mereka terbabit.

Katanya, penyebaran video itu dipercayai bertujuan mengaitkan­nya dengan kematian dua anggota TLDM di Pusat Tahanan Unit Sungai Wangi di Sitiawan, Perak, yang dipercayai didera.

“Dua tiga hari ini ada viral video berkenaan latihan pasukan khusus. Saya berharap perkara ini dihentikan segera kerana itu dua perkara berbeza.

“Hormati kaedah latihan yang ada kerana seperti kita sedia maklum, latihan anggota tentera bertujuan membina fizikal dan mental yang kuat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pembubaran dan Penganuger­ahan Pingat Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Batalion Malaysia 850-4 (MALBATT 850-4) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia