Berita Harian

Sindiket jual dokumen palsu tumpas

Lima individu termasuk wanita 32 tahun dipercayai ejen utama ditahan

- Oleh Suzianah Jiffar

Jabatan Imigresen Sabah menumpaska­n sindiket menjual dokumen palsu susulan penahanan lima individu termasuk seorang wanita dipercayai ejen utama kegiatan terbabit.

Kejayaan menahan lima individu berusia 14 hingga 22 tahun itu hasil serbuan menerusi Ops Serkap di sebuah rumah setinggan di Batu 7, Kampung Pengiran Galpam, Jalan Labuk di sini, awal pagi kelmarin.

Wanita dalang sindiket

Dalam operasi Jabatan Imigresen Cawangan Lahad Datu dan Sandakan bermula jam 4 pagi itu, wanita berusia 52 tahun berkenaan bersama dua anak lelakinya ditahan bersama dua lelaki lain.

Difahamkan, wanita suspek utama itu mendalangi sindiket berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu dan dipercayai menjadikan rumahnya sebagai pusat kutipan dokumen palsu berharga RM1,500 setiap satu set.

Lebih 200 dokumen dipercayai palsu ditemui dalam rumah suspek, termasuk salinan dokumen Pendaftara­n Orang Asing Khas (IMM13) dan surat permohonan permit masuk Jabatan Imigresen, tiga Mykad, gambar pasport, surat pengesahan kad pengenalan, surat kelulusan serta surat permohonan kad pengenalan dan borang akuan.

Sumber Jabatan Imigresen Sabah ketika dihubungi semalam, berkata lima suspek itu yang mempunyai dokumen termasuk sebagai penduduk tetap kini direman untuk siasatan lanjut.

“Ops Serkap dibuat susulan intipan selepas tangkapan empat beranak di Lahad Datu sebelum ini kerana memiliki dokumen palsu dalam operasi bersepadu bersama Kawasan Keselamata­n Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), hujung bulan lalu.

“Siasatan ke atas empat individu itu membawa kepada penahanan lima suspek di Sandakan. Jabatan Imigresen Lahad Datu bekerjasam­a dengan Unit Tindakan jabatan di Sandakan untuk melakukan intipan,” katanya.

 ?? [FOTO IHSAN JABATAN IMIGRESEN/BH] ?? Antara dokumen palsu yang dirampas Jabatan Imigresen dalam serbuan Ops Serkap di Sandakan.
[FOTO IHSAN JABATAN IMIGRESEN/BH] Antara dokumen palsu yang dirampas Jabatan Imigresen dalam serbuan Ops Serkap di Sandakan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia