Berita Harian

Skuad wushu belum boleh dabik dada

- Oleh Mohd Khairie Khalid

Sepang: Kejayaan pasukan wushu Malaysia menamatkan saingan Kejohanan Dunia di Kazan, Russia dengan kutipan dua pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa bukan bermakna skuad negara kini boleh mendabik dada.

Sebaliknya semua atlet perlu sentiasa berkerja keras bagi menghadapi kejohanan pada masa akan datang serta temasya besar seperti Sukan Asia yang dijadual berlangsun­g di Jakarta dan Indonesia pada 18 Ogos hingga 2 September 2018.

Perkara itu diakui jurulatih wushu negara, Lim Yew Fai sambil menyifatka­n terdapat beberapa kesilapan kecil dilakukan atlet di Kejohanan Dunia namun gembira kerana mereka mampu bangkit serta menamatkan saingan dengan keputusan yang baik.

“Selepas ini atlet akan terus berlatih untuk persiapan ke Sukan Asia dan kejohanan lain. Saya yakin kita mampu melakukan yang lebih baik dalam mana-mana kejohanan dan kurang melakukan kesilapan dalam kadar 90 peratus.

Mantapkan latihan

“Berdasarka­n maklumat yang kita dapat, untuk Sukan Asia terdapat negara lain yang kuat dan pasti berikan saingan sengit seperti Korea dan Indonesia termasukla­h mempunyai atlet muda yang sedang meningkat naik.

“Apa pun bagi bagi saya, semua acara kita perlu mantapkan lagi latihan kerana bukan bermakna apabila kita kuat, kita mampu terus menjadi juara,” kata Yew Fai ketika ditemui sekembali dari Kazan, Russia di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Untuk rekod, Wong Weng Son berjaya merangkul gelaran juara dunia apabila memenangi acara jianshu lelaki (pedang) dengan jumlah mata keseluruha­n 9.64 di Kejohanan Dunia, Kazan, Rusia. Atlet Korea Selatan, Lee Ha Sung mencatat 9.60 mata untuk memenangi perak sementara gangsa turut dimenangi Malaysia menerusi Yeap Wai Kin dengan 9.52 mata secara keseluruha­n.

Malaysia turut memenangi emas dalam menerusi acara duilian (koreografi tempur) wanita menerusi trio gandingan Phoon Eyin, Loh Ying Ting dan Tan Cheong Min dengan kutipan 9.46 mata secara keseluruha­n untuk dinobatkan sebagai juara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia