Berita Harian

Datuk antara tiga ditahan SPRM

SPRM jejaki lima lagi pegawai kanan kerajaan disyaki bersekongk­ol

- Oleh Wan Faizal Ismayatim dan Ilah Hafiz Aziz

Pemimpin kanan Parti Warisan Sabah, bekas timbalan setiausaha bahagian sebuah kementeria­n dan seorang ahli perniagaan disyaki terbabit kes penyelewen­gan peruntukan kerajaan untuk rakyat miskin. Mereka adalah antara 10 individu yang diburu SPRM

Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan tiga individu, termasuk pemimpin kanan Parti Warisan Sabah berkaitan siasatan penyelewen­gan dana hampir RM180 juta sebuah kementeria­n.

Lelaki bergelar Datuk itu yang juga ahli perniagaan sebelum menyertai politik itu ditahan kira-kira jam 6.40 petang semalam, ketika hadir ke pejabat SPRM negeri untuk dirakamkan kenyataan.

Beliau yang juga pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini untuk mendapatka­n perintah tahanan reman.

Yang turut ditahan, seorang ahli perniagaan sebuah syarikat pembinaan berumur 52 tahun di pejabat SPRM Sabah pada jam 8.45 malam tadi.

Seorang lagi yang ditahan ialah bekas Timbalan Setiausaha Bahagian kementeria­n terbabit berusia 40 tahun di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 8.15 malam tadi.

Bantu siasatan kes penyelewen­gan

Difahamkan, penahanan ketiga-tiga individu itu bagi membantu siasatan berkaitan penyelewen­gan dana membabitka­n projek dilaksanak­an di bawah sebuah kementeria­n Persekutua­n di Sabah.

Tiga terbabit adalah antara 10 individu bergelar Datuk dan Datuk Seri diburu SPRM kerana disyaki ada kaitan dengan penyelewen­gan peruntukan kerajaan berjumlah ratusan juta ringgit untuk golongan miskin di Sabah.

Difahamkan, individu terbabit adalah proksi kepada seorang tokoh berpengaru­h yang diberi tanggungja­wab menyalurka­n wang berkenaan bagi pelbagai projek bantuan rakyat di negeri ini beberapa tahun lalu.

SPRM juga dikatakan sedang menjejak lima pegawai kanan kerajaan yang disyaki bersekongk­ol dengan mereka.

Sementara itu, sumber berkata, SPRM setakat ini sudah membekukan akaun bank bernilai hampir RM180 juta milik lebih 10 syarikat di Sabah bagi membantu siasatan kes penyelewen­gan itu.

Ketua Pesuruhjay­a SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, yang ditemui wartawan di sini, semalam, mengesahka­n pihaknya sudah memulakan siasatan kes itu sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, pihaknya menyita RM150 juta sehingga kelmarin dan terbaru RM29 juta, semalam.

Difahamkan, SPRM juga menyerbu 15 lokasi, termasuk syarikat yang ada kaitan dengan 10 individu terbabit di Sabah, berkaitan kes berkenaan sejak beberapa hari lalu serta merampas banyak dokumen bagi membantu siasatan.

Bagaimanap­un, SPRM masih belum mendedahka­n nama kementeria­n berkenaan.

Menurut sumber, siasatan awal SPRM mendapati semua 10 individu yang diburu itu ‘menyimpan’ wang bagi pihak tokoh kenamaan itu untuk memastikan ia tidak dapat dijejak oleh pihak berkuasa.

“Sehingga sekarang sukar untuk mengesan pembabitan tokoh berpengaru­h itu kerana dia bijak ‘menyembuny­ikan’ wang berkenaan.

“Proksi terbabit juga sebelum ini diberikan banyak projek mega Kerajaan Pusat untuk dilaksanak­an di Sabah,” kata sumber itu kepada BH.

Difahamkan, antara projek rakyat miskin yang terjejas dengan penyelewen­gan itu ialah Program Bantuan Makanan Sekolah, pembinaan kemudahan asas dan infrastruk­tur, menaik taraf bekalan air, elektrik serta penyelengg­araan pedalaman.

 ??  ??
 ?? [FOTO BERNAMA] ?? Dzulkifli (dua dari kiri) bersalam dengan peserta Persidanga­n Antarabang­sa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan Ke-9 di Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO BERNAMA] Dzulkifli (dua dari kiri) bersalam dengan peserta Persidanga­n Antarabang­sa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan Ke-9 di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia