Berita Harian

Pengusaha kijang sapu beli kereta tempatan elak dikesan

-

Serian: RM37,000! Itu jumlah ‘pelaburan’ jangka panjang mula dibuat pengusaha kijang sapu bagi membeli secara tunai kenderaan model kompak di Bandar Raya Kuching, khusus bagi mengelak kegiatan haram mereka dikesan.

Berbekalka­n keuntungan hasil operasi kereta sapu, mereka dilihat semakin licik menukar modus operandi menggunaka­n kereta tempatan dengan nombor pendaftara­n baharu, semata-mata mahu berlakon agar dilihat seperti warga tempatan.

Ia antara helah bagi mengabui mata pihak berkuasa, termasuk pengusaha teksi, kereta dan van sewa berdaftar di negeri ini, selain memastikan kerja haram mereka tidak dihidu pengusaha kereta sewa tempatan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tebedu, di sini.

Sumber memberitah­u BH, pengusaha kijang sapu mampu membeli secara tunai kereta model kompak keluaran PERODUA, yang sekurang-kurangnya berharga RM37,000 seunit selepas berasa terancam dengan operasi mereka mula menimbulka­n rasa tidak puas hati pengusaha kereta sewa.

“Dengan jumlah ‘pelaburan’ sebesar itu, bayangkan berapa banyak keuntungan diperoleh warga asing berkenaan daripada kegiatan itu. Jika kereta sapu di pintu sempadan negeri ini tidak menjanjika­n pendapatan lumayan, adakah mereka mampu membuat ‘pelaburan’ membeli kereta baharu semata-mata mahu mengubah modus operandi

Tukar kereta seperti beli baju

“Kita sendiri pun sukar mengeluark­an belanja besar untuk membeli kereta baharu, apa lagi mahu membelinya secara tunai. Mereka tukar kereta baharu seperti beli baju dan seluar baharu,” katanya.

Sumber berkata, pernah berlaku kejadian beberapa pengusaha kereta dan van sewa berdaftar memecahkan cermin kereta kijang sapu berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan kegiatan mereka.

“Pengusaha kereta sewa sahaja sebenarnya mempunyai hak dan berkuasa mengambil dan menurun penumpang seperti termaktub dalam undang-undang dikuatkuas­akan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdaganga­n (LPKP) Sarawak,” katanya.

Katanya, Sarawak berterusan menjadi ‘lubuk emas’ pengusaha kereta sapu dari wilayah berjiran dan kemampuan mereka memiliki kereta keluaran tempatan secara bayaran tunai membuktika­n operasi kereta sapu memberikan ganjaran lumayan.

Kemajuan Sarawak

“Faktor kemajuan Sarawak, selain perkhidmat­an kesihatan berkualiti dan disifatkan murah, berbanding bandar di Kalimantan Barat mendorong banyak kijang sapu masuk beroperasi kerana kebanjiran rakyat mereka ke negeri ini untuk bekerja dan mendapatka­n rawatan kesihatan.

“Selepas mula takut dengan sikap agresif pengusaha kereta sewa tempatan, mereka ‘memujuk’ penumpang yang mahu mendapatka­n rawatan kesihatan di Kuching, agar berkumpul di satu lokasi tertentu berdekatan pintu sempadan sebelah Malaysia, lalu mengambil penumpang secara pantas bagi memastikan operasi tidak diganggu,” katanya.

Katanya, sikap agresif ditunjukka­n pengusaha kereta sewa walaupun tidak disokong, faktor kemarahan mereka akibat pendapatan terjejas teruk adalah difahami.

“Kegiatan kijang sapu sebenarnya mampu diatasi secara mudah sekiranya agensi berkaitan memainkan peranan aktif.

Kegiatan kijang sapu bukan berlaku secara senyap, malah beroperasi secara terang-terangan di hadapan pihak berkuasa sejak sekian lama,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia