Berita Harian

‘Datuk Anggun’ kena dakwa tipu RM30,000

Ahli perniagaan perdaya mangsa serah wang bina rumah

- Oleh Muhammad Mustakim Ramli

Seorang ahli perniagaan semalam didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, atas dakwaan menipu seorang pensyarah RM30,000 untuk tujuan pembinaan rumah.

Siti Norbaiyah Yahya, 42, atau dikenali ‘Datuk Anggun’ mengaku tidak bersalah atas dakwaan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azhar Hamzah.

Bina rumah mangsa

Berdasarka­n pertuduhan, Siti Norbaiyah yang berasal dari Pasir Gudang, Johor didakwa menipu Zainol Ahmad, 51, dengan memperdaya­kan lelaki itu supaya menyerahka­n wang berjumlah RM30,000 untuk tujuan pembinaan rumah di tanah milik mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Siti Norbaiyah di sebuah premis di Jalan Dato Ali di sini, jam 5 petang pada 23 Disember 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, dan sebatan dan juga dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif menawarkan jaminan RM30,000 bagaimanap­un tertuduh yang diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim meminta ia dikurangka­n.

Ibu tunggal anak lima

Syed Muhammad Anwar memohon mahkamah membenarka­n jaminan minimum atas alasan anak guamnya adalah ibu tunggal yang mempunyai lima orang anak.

Mahkamah membenarka­n tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 November ini untuk serahan dokumen.

 ?? [FOTO AZHAR RAMLI/BH] ?? Siti Norbaiyah dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kangar, semalam selepas didakwa menipu pensyarah.
[FOTO AZHAR RAMLI/BH] Siti Norbaiyah dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kangar, semalam selepas didakwa menipu pensyarah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia