Berita Harian

Wanita ubah wang haram RM211,239

-

Kota Bharu: Seorang pembantu tadbir Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas 14 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitka­n transaksi bernilai RM211,239 sejak Mac lalu.

Noormazida Mukhtar, 28, yang bertugas di Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) bagaimanap­un mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Mengikut semua pertuduhan dalam prosiding semalam, dia didakwa membabitka­n diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahka­n wang berjumlah RM211,239 daripada akaun milik syarikat suaminya KAB Adil Resources ke akaun syarikatny­a, JIE Excellent Enterprise hasil daripada aktiviti haram.

Noormazida didakwa melakukan semua kesalahan itu di antara 4 Mac hingga 20 Julai lalu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Kubang Kerian, Jalan Sultan Zainab 2, di sini.

Denda sehingga RM5 juta jika sabit kesalahan

Tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat manakala tertuduh tidak diwakili.

Mahadi memohon kes dibicaraka­n bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 23 Oktober ini dan tertuduh diikat jamin RM70,000.

Noormazida tidak mengemukak­an rayuan sebelum Nazri membenarka­n tertuduh diikat jamin RM70,000 dan menetapkan 23 Oktober ini untuk sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Dia yang gagal membayar wang jaminan dibawa ke Penjara Pengkalan Chepa sementara menunggu sebutan semula kes.

Dituduh bersama suami buat tuntutan palsu

Bulan lalu, tertuduh turut didakwa bersama suaminya, Mohd Fikri Izani, 26, di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu bagi kesalahan membuat tuntutan palsu pembekalan telur dan susu bernilai RM211,646 kepada HSNZ.

Noormazida sekali lagi dituduh pada 5 Oktober lalu di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas 16 pertuduhan terbabit dengan pengubahan wang haram lebih RM130,000.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia