Berita Harian

Keluarga mangsa menang saman RM305,000

-

Johor Bahru: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintah­kan Kerajaan Malaysia dan dua lagi defendan membayar ganti rugi sebanyak RM305,000 kepada ibu pelatih Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Kota Tinggi, atas kecuaian menyebabka­n anaknya mati dalam tahanan, empat tahun lalu.

Keluarga pelatih Mohamad Ezanee Zakaria menang saman terhadap Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama dan dua bekas polis bantuan, Darmaji Darwi, 28, sebagai defendan kelima dan Mohsin Jamari, 35, sebagai defendan keenam.

Hakim, Datuk Teo Say Eng memerintah­kan defendan membayar ganti rugi RM305,000 kepada keluarga Mohamad Ezanee.

Kos terbabit adalah sebagai ganti rugi am sebanyak RM100,000; RM200,000 bagi ganti rugi pengajaran, teruk dan penyalahgu­naan awam serta ganti rugi khas kos pengebumia­n RM5,000.

Defendan pertama turut diarah membayar kos tindakan RM50,000 kepada plaintif berserta faedah lima peratus setahun dari tarikh saman difailkan sehingga penyelesai­an penuh.

Say Eng dalam hujah penghakima­n mengarahka­n defendan pertama, kelima dan keenam membayar semua ganti rugi terbabit kerana mempunyai tanggungan secara bersama atau berasingan menyebabka­n kecuaian, manakala bagi tuntutan terhadap defendan kedua iaitu Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (defendan ketiga) dan Pengarah CCRC Kota Tinggi (defendan keempat) ditolak tanpa perintah kos disebabkan tiada Vikarius Liabiliti.

Kes plaintif dikendalik­an peguam Ahmad Hafiz Zubir dan Auzan Sazali, manakala Kerajaan Malaysia diwakili Peguam Kanan Persekutua­n, Thalha Bachok dan defendan kelima serta keenam tidak diwakili peguam.

Defendan kelima, keenam dipenjara 15 tahun

Sebelum ini, defendan kelima dan keenam juga sudah dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi mengikut Sesyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.

Terdahulu, keluarga Mohamad Ezanee yang diwakili ibu pelatih, Mek Esah Jusoh, 73, memfailkan saman pada 30 Januari 2014 berjumlah RM1.55 juta.

Dalam tuntutanny­a, Mek Esah mendakwa semua defendan cuai dalam memastikan keselamata­n mangsa.

Pada 14 November 2013, Mohamad Ezanee dimasukkan ke CCRC Kota Tinggi sebagai pelatih dan pada hari sama dia dipercayai dipukul petugas semasa dalam jagaan pusat itu pada jam 4.30 petang.

Mohamad Ezanee dibawa ke Hospital Kota Tinggi dan dipindahka­n ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) serta disahkan koma sebelum meninggal dunia pada jam 10.45 pagi, 15 November 2013.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia