Berita Harian

Tiga ahli ‘Geng Yus Bumbung’ ditahan

-

Balik Pulau: Polis menahan tiga ahli ‘Geng Yus Bumbung’ selepas dipercayai terbabit dalam 35 kes pecah masuk premis sekitar negeri ini di Taman Lip Sin serta Sungai Pinang di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitend­an A Anbalagan, berkata suspek berusia 33 hingga 38 tahun itu ditahan pada jam 5.30 pagi, susulan laporan berhubung kejadian pecah masuk sebuah kilang membabitka­n kerugian RM6,000, baru-baru ini.

Beliau berkata, hasil siasatan awal dan pemeriksaa­n di rumah ketiga-tiga suspek menemui pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah dan kilang sejak awal Januari lalu.

“Kita turut merampas 17 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga komputer riba selain pelbagai peralatan yang digunakan untuk memecah masuk bangunan seperti sarung tangan serta sehelai baju berjenama Edwin yang dipercayai hasil curi daripada kilang Edwin, di sini.

35 kes pecah rumah

“Hasil siasatan juga mendapati suspek mengaku terbabit dalam 35 kes pecah rumah dan kilang di sekitar daerah Barat Daya, Timur Laut dan Seberang Perai Selatan (SPS) yang membabitka­n jumlah kerugian mencecah RM170,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di sini, semalam.

Difahamkan modus operandi geng berkenaan adalah dengan dua daripada mereka memecah masuk bangunan dengan memotong bumbung sebelum masuk ke premis, sementara seorang lagi menunggu di dalam kenderaan di luar bangunan untuk melarikan barangan curi berkenaan.

Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, kumpulan terbabit aktif melakukan kegiatan itu sekitar jam 2 hingga 5 pagi.

“Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mendapati semua mereka positif dadah jenis methapetha­mine.

“Mereka ditahan reman selama tujuh hari mulai 12 Oktober hingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia