Berita Harian

Mangsa peluru sesat baru rai hari lahir

Keluarga lega Wan Mohd Zain tak terbabit jenayah di Tak Bai

- Oleh Siti Rohana Idris

Rakyat Malaysia, Wan Mohd Zain Wan Hussin, yang maut terkena peluru sesat di pusat pemeriksaa­n polis di Kampung Cek He, Tak Bai, Thailand, malam kelmarin, baru saja meraikan ulang tahun ke-46 tidak sampai dua minggu.

Dalam kejadian pada jam 10.30 malam Wan Mohd Zain yang menunggang motosikal berhenti untuk diperiksa anggota polis Thailand, terkena peluru yang ditembak beberapa lelaki ke arah pusat pemeriksaa­n terbabit.

Abang mangsa, Wan Pa Wan Hussin, 58, berkata adiknya yang juga seorang duda empat anak berusia antara 12 hingga 20 tahun itu jarang pergi ke negara jiran melainkan jika ada urusan.

“Kami tidak tahu tujuan dia ke Tak Bai kerana tidak pernah pergi ke sana pada waktu malam.

Pesan keluarga jaga anak

“Saya hanya berjumpa mangsa dua minggu lalu dan arwah berpesan supaya keluarga menjaga empat anaknya jika terjadi apa-apa terhadap dirinya,” katanya ketika ditemui di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor di sini, semalam.

Wan Pa berkata, mereka mengetahui kejadian yang menimpa anak bongsu daripada lapan beradik itu pada jam 12 tengah malam selepas diberitahu kenalan mangsa.

Sementara itu, kakak mangsa, Wan Rokiah Wan Hussin, 53, berkata walaupun sedih dengan berita diterima namun mereka sekeluarga lega kerana adiknya yang bekerja sebagai tukang masak di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, tidak terbabit jenayah.

“Sebaik dimaklumka­n kejadian itu malam tadi, kami menyangkak­an ada yang tidak berpuas hati dengannya (mangsa) namun lega apabila mengetahui perkara sebenar (tembakan rambang),” katanya sambil memberitah­u jenazah adiknya itu dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketil.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia