Berita Harian

Phantom baharu model tercanggih Rolls-royce

-

Rolls-royce Motor Cars memperkena­lkan model Phantom baharu empat tempat duduk super mewah baharu, buat pertama kali di Malaysia yang disasarkan kepada golongan kenamaan.

Pengarah Urusan Rolls-royce Motor Cars Kuala Lumpur, Datuk Michael Ong Leng Chun, berkata Phantom baharu menggabung­kan teknologi terkini dengan rekaan mewah berdasarka­n kepada ciri jenama kenderaan mewah ini.

Beliau berkata, kenderaan buatan tangan sepenuhnya itu disasarkan bakal terjual sebanyak 400 unit seluruh dunia.

“Jualan keseluruha­n kenderaan Rolls-royce pada 2016 adalah sebanyak 4,000 unit di seluruh dunia dan bagi tahun ini kami juga menyasarka­n jualan dalam lingkungan sama.

“Kami percaya Phantom baharu bakal menyumbang sebanyak 10 peratus daripada keseluruha­n jualan. Bagi pasaran Malaysia pula, kami menyasarka­n Phantom baharu akan mula dihantar kepada pelanggan pada separuh pertama 2018.

“Setiap unit adalah buatan tangan sepenuhnya berdasarka­n kepada permintaan pelanggan dan ia memerlukan masa sehingga enam bulan untuk menyiapkan satu unit Phantom baharu,” katanya ketika pelancaran jenama baharu itu di Petaling Jaya, semalam.

Model tercanggih

Phantom baharu adalah model tercanggih pernah dihasilkan Rolls-royce dan dikuasakan enjin V12 dwiturbo 6.75 liter serba baharu yang turut menjadi kekuatan utama sumber kuasa kenderaan ini.

Leng Chun berkata, generasi kelapan Phantom ini lebih ringan selain standard produksi yang efisien dan jarak roda yang dipanjangk­an serta rekaan permukaan luaran yang terbaik.

“Struktur kerangka ruang aluminium yang serba baharu ini bukan saja ringan, malah memberikan satu dimensi baharu rekaan luaran kereta untuk prestasi yang terbaik dalam kelasnya.

“Ia 30 peratus lebih tegar daripada model sebelumnya, menyediaka­n keselesaan perjalanan yang lebih baik,” katanya.

Leng Chun berkata, tempahan bagi model Phantom baharu untuk pasaran Malaysia sudah dibuka dengan dua varian, iaitu Phantom Standard Wheelbase dengan harga permulaan RM2.2 juta dan Phantom Extended Wheelbase dari harga bermula RM2.5 juta.

Beliau berkata, pelanggan juga bakal menikmati pakej jaminan dan servis selama empat tahun, bantuan 24 jam dan bantuan khas selepas jualan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia