Berita Harian

13 kawasan rekreasi, air terjun ada kepala air

JBPM Kedah kenal pasti tempat riadah perlu dijauhi elak kejadian tak diingini

- Oleh Zuliaty Zulkiffli bhnews@bh.com.my

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengenal pasti sekurang-kurangnya 13 kawasan rekreasi dan air terjun di negeri ini yang berisiko dilanda kepala air.

Timbalan Pengarah JBPM Kedah, Penolong Pesuruhjay­a Bomba, Mohd Zahar Abdullah, berkata antara kawasan terbabit termasukla­h Lubuk Semilang yang meragut empat nyawa minggu lalu, selain tiga lagi di Langkawi iaitu Temurung, Telaga Tujuh dan Durian Perangin.

Tempat lain, katanya, ialah Titi Hayun dan Batu Hampar di Yan serta Bukit Wang di Jitra, selain Sungai Kilim, Sungai Sedim dan Lata Junjung di Kulim, Tupah di Bedong, Batu Pahat di Merbok serta Puncak Janing di Padang Terap.

Beliau berkata, tahun ini sahaja empat kes kepala air dilaporkan di negeri ini, iaitu Tupah di Bedong, Batu Hampar di Yan, Jalan Datar dan Lubuk Semilang di Langkawi.

“Daripada empat kes itu, empat mangsa meninggal dunia, manakala 15 mangsa lagi berjaya diselamatk­an daripada dihanyutka­n arus deras.

Lari ke tempat tinggi

“Kita nasihatkan mereka yang terperangk­ap dalam arus deras supaya segera lari ke tempat lebih tinggi supaya dapat menunggu bantuan dan jangan bertindak sendiri dengan menyeberan­g ke tempat selamat kerana bimbang dihanyutka­n air deras,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pentauliah­an Pegawai Bomba Bantuan Siri 1/2017 di Balai Bomba dan Penyelamat Yan, di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankua­sa Industri dan Pelaburan, Perdaganga­n Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Kedah, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail.

Pada majlis itu, 61 Pegawai Bomba Bantuan terdiri daripada 55 lelaki dan enam wanita menamatkan latihan 10 hari.

Mohd Zahar turut mengingatk­an orang ramai supaya tidak mengunjung­i kawasan rekreasi sekiranya hujan dan peka dengan perubahan cuaca terutama keadaan gelap di atas gunung atau bukit, dengan meninggalk­an kawasan itu segera.

 ?? [FOTO ZULIATY ZULKIFLI/BH] ?? Ku Abdul Rahman memeriksa perbarisan pelatih Pegawai Bomba Bantuan sambil diiringi Pegawai Bomba Zon 2 Sungai Petani, Mohd Mazukhi Shaffie, di Yan, semalam.
[FOTO ZULIATY ZULKIFLI/BH] Ku Abdul Rahman memeriksa perbarisan pelatih Pegawai Bomba Bantuan sambil diiringi Pegawai Bomba Zon 2 Sungai Petani, Mohd Mazukhi Shaffie, di Yan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia