Berita Harian

Bau busuk jadi tumpuan gerakan SAR

-

Gua Musang: Bau busuk di kawasan pencarian mangsa hilang di Hutan Simpan Lebir, Aring 8, di sini, pagi semalam, menjadi tumpuan gerakan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superinten­dan Abdullah Daud, berkata bau busuk itu dikesan pasukan SAR dalam operasi semalam, tetapi gagal menemui mangsa, Lau See, 69, yang dilaporkan hilang pada 9 Oktober lalu.

Beliau berkata, sebelum operasi itu dihentikan pada jam 6 petang kelmarin, pasukan itu mencari di seluruh kawasan berkenaan tetapi gagal menemui mangsa.

Operasi diteruskan

Katanya, operasi itu diteruskan hari ketujuh bermula jam 10 pagi ini membabit 31 anggota termasuk anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kita turut mendapat bantuan daripada 11 anggota Pasukan Gerak Am (PGA), kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam kejadian 9 Oktober lalu, Lau See dilaporkan hilang di hutan itu pada jam 5.30 petang selepas meninjau kawasan berkenaan bersama dua penduduk Orang Asli iaitu Pandu Amat, 45 dan anak lelakinya, Azerin, 20.

Bagaimanap­un, mangsa yang berasal dari Negeri Sembilan, gagal keluar dari hutan itu, manakala Orang Asli terbabit menunggu di kenderaan mangsa.

Pandu membuat laporan di Balai Polis Paloh selepas gagal menemui mangsa pada hari sama.

Beliau berkata, kawasan pencarian turut diperluask­an ke tiga kilometer persegi termasuk sekitar sungai.

 ?? [FOTO RAMLI IBRAHIM/BH] ?? Anggota SAR meneruskan operasi mengesan Lau See di Hutan Simpan Lebir, Gua Musang.
[FOTO RAMLI IBRAHIM/BH] Anggota SAR meneruskan operasi mengesan Lau See di Hutan Simpan Lebir, Gua Musang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia