Berita Harian

IDENTITI LAGU MELAYU?

Irama mendayu era 1990-an pantas pikat pendengar

- Oleh Farihad Shalla Mahmud dan Muhamad Fairoz Azizan bhhip@bh.com.my

Berdiri atas paksi irama Melayu sebenar membawa komposer baharu meneroka kembali muzik era 1990an dengan suntikan moden.

Tidak menjadikan genre itu sebagai acuan, hanya arah muzik era berkenaan diambil memandangk­an iramanya masih mendapat tempat di hati pendengar.

Melihat perkembang­an itu, penyanyi dan pencipta lagu, Haqiem Rusli, menganggap ia berbaloi untuk penyanyi baharu membawa identiti sebenar muzik Malaysia.

“Ke mana pun arahnya, kita tetap akan kembali ke muzik sedemikian. Ini kerana itulah muzik Melayu kita. Sebab orang Melayu lebih sukakan muzik sedemikian.

“Kalau kita tengok muzik Projector Band, mereka adalah pencetus kembalinya lagu 1990an seperti lagu Sudah Ku Tahu. Lagu saja dilihat seperti 1990an, tetapi susunan muziknya moden. Bagi saya, itu sesuatu yang baharu dan segar,” katanya kepada HIP.

Mampu bertahan

Menganggap lagu yang dicetuskan generasiny­a masih ke depan biarpun arah muziknya dilihat kembali ke belakang, bagi Haqiem, ia mampu bertahan lama.

Dalam hal ini, industri muzik mempunyai skop sangat luas. Setiap pengkarya perlu bijak menyusun hasil ciptaan mereka biarpun ada pihak tidak berpuas hati dengan muzik yang dianggap ketinggala­n.

“Kadangkada­ng, orang yang cakap begini sebenarnya tak puas hati sebab tengok orang lain berjaya. Dia akan cari salah. Saya rasa lagu sebegini sampai bilabila pun akan mampu bertahan kalau muzik itu ada kualiti dan karya tak merepek.

“Sebagai contoh, lagu Ismail Izzani berjudul Sabar, muziknya segar dan ke depan. Cuma, kita perlu bijak mengadun irama 1990an dengan yang baharu. Lagu Irfan Haris juga ke depan dengan konsep ketuhanan, jadi perkara ini perlu pelbagai.

“Muzik ini luas. Kita tak boleh buat lagu ke depan saja. Ini kerana pendengar ada pilihan dan ada yang mahukan muzik begini.

“Orang yang terlalu berkarya, ada ketikanya tak menjadi pun. Apa yang menjadi tetap muzik 1990an,” katanya yang turut menghasilk­an lagu untuk Irfan Haris berjudul Pesan dan Putera Band berjudul Tersiksa.

Elemen ‘rock kapak’

Kejayaan lagu Ku Rela Dibenci nyanyian Aiman Tino juga dianggap pelopor kepada irama 1990an untuk kembali mewarnai dunia muzik tanah air.

Meraih jumlah tontonan lebih 40 juta di laman Youtube dan menjadi siulan ramai, membuatkan ramai penyanyi cuba mengikut jejak langkahnya dengan mendendang­kan lagu genre sama.

Seakan mudah mengenali dendangan irama 1990an apabila bunyi lagunya mendayuday­u atau bahasa slanganya, ‘tangkap leleh’.

Bukan bercakap kosong, sebaliknya apabila melihat aliran muzik yang muncul selepas populariti lagu ciptaan bapa Aiman, Yusri Ishak, jelas menunjukka­n kebanyakan melodinya memang berteraska­n era 1990an. Bukan saja irama, tetapi juga liriknya.

Siapa sangka, melodi dianggap ketinggala­n zaman dan mundur itu mampu berada di kedudukan sekarang. Malah, Ku Rela Dibenci menjadi finalis untuk acara anugerah paling berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL), tahun lalu.

Mengimbau kembali di sebalik kejayaan lagu yang membawa perubahan kepada landskap muzik Malaysia itu, tentunya orang yang paling layak untuk bercerita adalah penggubah muziknya iaitu Harry Khalifah.

Menurut Harry, dia tidak menyangka hasil kerjanya itu meraih pengiktira­fan, malah berjaya mencetuska­n fenomena kepada aliran muzik tanah air.

“Sebelum saya membuat susunan muzik untuk sesebuah lagu, saya terlebih dulu mengkaji karakter dan vokal penyanyi.

“Sebaik saja mendengar vokal Aiman, terus saya bayangkan lagunya seperti ‘rock kapak’ zaman duludulu. Sebagai seorang yang membesar dengan genre lagu seperti itu, sedikit sebanyak ia mempengaru­hi cara saya menggubah sesebuah lagu.

“Kebetulan suara Aiman sangat sesuai dengan lagu sebegitu. Jadi saya pun gubahlah muziknya mengikut kesesuaian vokal, selain berdasarka­n cita rasa saya. Tak sangka pula lagu sebegitu kembali diminati dan terus menjadi ikutan penyanyi lain,” katanya.

Inovasi dalam berkarya

Penghasila­n sesebuah karya bukan sekadar mengikut aliran, sebaliknya perlu mendidik pendengar dengan muzik baharu bagi membawa industri melangkah ke depan.

Walaupun muzik era 1990an diterima pendengar, bagi penyanyi dan pencipta lagu, Ippo Hafiz, pengkarya juga perlu berani dan bijak membuat perubahan bagi mewarnai lagi industri muzik.

“Pendengar di Malaysia ini ke banyakanny­a mengikut aliran terkini. Mereka suka benda macam ini sebab kurang diberikan pendedahan mengenai muzik yang kian berkembang.

“Di Indonesia, kita tengok muzik seperti Raisa Andriana, Tulus dan Isyana Sarasvati ada elemen moden.

“Tetapi, muzik kita kembali ke era 1990an. Ada bagus dan buruknya, seperti mungkin pendengar tidak dapat berkembang dari segi muzik.

“Sepatutnya pengkarya menjadi platform kepada pendengar untuk mencetuska­n muzik baharu bagi0 mendidik mereka menerima pembaharua­n,” katanya.

Menganggap muzik sepatutnya diangkat ke depan, bukannya kembali ke belakang, Ippo berkata, sebagai pendengar, mereka perlu mengkaji dan mengangkat seseorang pengkarya itu ke hadapan dengan pembaharua­n.

“Tidak salah jika seseorang penyanyi punya jiwa untuk menyanyika­n lagu 1990an. Kalau itu jiwa dia, kita tak boleh halang sebab saya menghasilk­an lagu mengikut cita rasa artis.

“Industri kita ada Amir Jahari yang memperjuan­gkan identiti muzik dia ke depan, tetapi kurang dapat tumpuan sebab pendengar kita kurang diberi pendedahan. Semua pihak perlu bersatu demi mengangkat muzik kita supaya orang luar nampak muzik kita sangat kukuh,” jelasnya.

Tak semua pendengar suka R&B

Tidak boleh meletakkan kesalahan di bahu komposer dan penyanyi disebabkan kembalinya muzik era 1990an, sebaliknya Tajul Arif berpendapa­t, pendengar yang mahukan muzik seumpama itu dikembalik­an.

Sesetengah penyanyi diberi karya sedemikian atas kehendak label dan bergantung kepada pendengar untuk menerima atau sebaliknya.

“Muzik era 1990an bergantung kepada kualiti karya dan nyanyian. Kalau keduaduany­a sedap, mungkin orang akan ingat sampai bilabila. Ia bergantung juga kepada peminat, sama ada boleh terima atau tidak.

“Sebab itu, kalau saya buat persembaha­n, saya akan tarik budakbudak supaya mereka ingat lagu saya sampai mereka tua. Kalau dapat ke tahap begitu, alhamdulil­lah,” katanya.

Tidak menjadikan sesebuah genre sebagai kekuatanny­a, Tajul menerima apa saja karya yang diberi, asalkan sesuai dengan vokal dan dirinya.

“Saya tidak kisah muzik yang macam mana, janji saya boleh bawa. Bergantung kepada minat masingmasi­ng. Tak semua orang suka R&B sebab ada yang suka lagu jiwang. Sebagai penyanyi, kita bergantung kepada penerimaan pendengar,” kata Tajul Arif.

Wany tak malu dengan Menahan Rindu

Pasangan duet kepada Tajul yang juga bernaung di bawah label yang sama dengannya, Wany Hasrita turut berkongsi pandangan serupa.

Menurut Wany yang dicungkil bakat nyanyian menerusi laman sosial Smule, asalkan peminat suka dan lagu memberi manfaat dengan situasi ‘menangmena­ng’ antara penyanyi dengan label, ia sudah memadai.

“Tak perlu nak rasa malu kalau ada yang kata melodi lagu Menahan Rindu itu ketinggala­n zaman. Asalkan peminat suka, itu sudah memadai.

“Bagi saya, tak salah kalau kita nyanyikan lagu yang muziknya seperti zaman 1990an. Ini kerana lagu begitu memang sesuai dengan jiwa saya. Lagipun, saya memang meminati lagu irama tradisiona­l dan cara nyanyianny­a juga tak banyak beza.

“Sebagai penyanyi, saya hanya mengikut apa saja yang dikehendak­i pihak syarikat rakaman. Mereka yang menentukan hala tuju lagu nyanyian saya.

“Setakat ini, saya tidak ada masalah dengannya. Walaupun cita rasa muzik saya lebih kepada lagu Inggeris yang lebih urban, tapi saya tetap menyanyika­n lagu mendayuday­u,” katanya.

 ?? [ FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM / BH ] ?? Dari kiri; Wani Hasrita, Tajul Ariff Noor dan Haqiem Rusli.
[ FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM / BH ] Dari kiri; Wani Hasrita, Tajul Ariff Noor dan Haqiem Rusli.
 ??  ??
 ??  ??
 ?? [ FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN / BH ] ?? Ippo Hafiz mahu pengkarya berani buat perubahan muzik mengikut aliran terkini.
[ FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN / BH ] Ippo Hafiz mahu pengkarya berani buat perubahan muzik mengikut aliran terkini.
 ??  ?? Harry (kiri) cipta susunan muzik dan lagu ikut karakter dan vokal penyanyi.
Harry (kiri) cipta susunan muzik dan lagu ikut karakter dan vokal penyanyi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia