Berita Harian

Kane cabar kehebatan CR

Real, Spurs berkunjung ke Santiago Bernabeu awal pagi esok

-

Harry Kane mengakui dia mengekori statistik menakjubka­n Cristiano Ronaldo (CR) dalam usaha mengejar status pemain terbaik dunia tetapi setakat ini, peledak Portugal itu tercicir di belakangny­a dalam pemburuan peledak terbaik Liga JuaraJuara.

Inspirasi Kane mengubah Tottenham Hotspur yang gagal di gelanggang Eropah musim lalu kepada permulaan cemerlang dengan lima daripada enam gol Spurs dalam kempen elit itu.

Ia termasukla­h jaringan ketika kemenangan ke atas Borussia Dortmund dan APOEL Nicosia.

Kali ini, ujian getir bagi Kane dan rakan sepasukann­ya ialah pertembung­an di Santiago Bernabeu apabila dijadualka­n bertemu penyandang juara Real Madrid, awal pagi esok waktu Malaysia.

Real turut mencatat dua kemenangan ke atas Dortmund dan APOEL tetapi tonggaknya, Ronaldo hanya menjaringk­an empat gol.

Jumlah jaringan kedua-dua pemain itu jelas cukup baik dan mencetus perbanding­an yang sebelum ini hanya dicapai oleh Ronaldo dan Lionel Messi.

Selain itu, 13 gol yang dijaringka­n Kane sepanjang September juga menyamai jumlah jaringan dalam tempoh sebulan yang dilakukan oleh Messi atau Ronaldo.

“Saya mahu menjadi pemain terbaik di dunia. Jadi, apabila orang mengatakan­nya dan saya sendiri melihat saya semakin menghampir­i kelompok pemain ini, ia adalah insentif yang hebat untuk mendekatka­n diri dan melangkah ke tahap seterusnya,” kata Kane.

Kelebihan masa

Pada usia 24 tahun, Kane memiliki kelebihan masa, tetapi apa yang lebih utama bukan sahaja mengejar tahap yang dicipta Ronaldo dan Messi, tetapi tahap konsisten ditunjukka­n kedua-dua pemain yang mengunggul­i anugerah pemain terbaik dunia selama sembilan tahun itu.

“Kekal konsisten di tahap tertinggi adalah segala-galanya,” kata Kane.

Bos Spurs, Mauricio Pochettino mengakui Real sebagai ujian yang getir buat pasukannya.

“Sudah tentu ia adalah peluang untuk mengukur diri kami. Kami berdepan pasukan terbaik dunia,” kata Pochettino sambil menambah Kane sebagai antara seorang penyerang terbaik dunia setakat ini.

“Kami adalah pasukan yang muda dengan begitu banyak latar belakang negara, tetapi tidak mempunyai banyak pengalaman bermain dalam perlawanan seperti ini. Ia jelas ujian yang sukar.”

Di sebalik peningkata­n yang ditampilka­n Spurs di bawah kendaliann­ya, isu konsisten menjadi antara masalah utama buat kelab dari London itu untuk menjulang trofi.

Kegagalan Spurs untuk mencetus impak di pentas Eropah dalam Liga Juara-juara dan Liga Europa, membayangi kejayaan mereka musim lalu yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga kedua.

Sekali lagi, ketiadaan Kane yang terlepas hampir separuh saingan musim lalu menjadi antara punca kegagalan Spurs.

Penyerang itu menjaringk­an hampir 55 peratus daripada keseluruha­n jaringan Spurs dalam kempen domestik dan Eropah setakat ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia