Berita Harian

Kabinet lulus syor kongsi data statistik

Bantu kerajaan sedia keperluan penuhi kehendak orang ramai, elak bazir peruntukan

- Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

Kabinet meluluskan cadangan supaya agensi dan jabatan kerajaan berkongsi data dengan Jabatan Perangkaan untuk penyediaan statistik dan penyusunan petunjuk sosioekono­mi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata selama ini, sebahagian jabatan kerajaan menganggap laporan statistik mereka sulit dan tidak perlu didedahkan kepada umum, termasuk kepada Jabatan Perangkaan.

Dengan keputusan itu yang dibuat Jemaah Menteri baru-baru ini, beliau berkata, hanya data berkaitan keselamata­n negara dan maklumat di bawah Akta Perlindung­an Data Peribadi, tidak boleh dikongsi.

“Tindakan tidak berkongsi data menyebabka­n maklumat yang sepatutnya membantu pihak berkenaan membuat keputusan berkesan tidak tercapai.

Elak pembaziran

“Apabila ada data, kerajaan boleh menyediaka­n keperluan untuk memenuhi kehendak orang ramai, selain mengelakka­n pembaziran peruntukan yang tidak perlu.

“Contohnya, data jalan mana banyak kemalangan, kawasan mana banyak jenayah jalanan dan apa sahaja data yang boleh mewujudkan kesejahter­aan negara. Ia perlu dikongsi dengan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarka­n Sambutan Hari Statistik Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, semalam.

Katanya, menerusi keputusan Kabinet itu, Jabatan Perangkaan boleh mengutip data daripada jabatan dan agensi kerajaan lain bagi memastikan Malaysia tidak ketinggala­n dalam revolusi Big Data Open Data.

“Dalam mengorak langkah menjadi negara maju, kita perlu tahu angka yang dikeluarka­n supaya pembanguna­n ekonomi akan lebih baik berdasarka­n statistik yang diperoleh dengan tepat dan diyakini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perangkawa­n Malaysia, Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata 280 data dikumpul jabatannya setiap tahun daripada pelbagai agensi, tetapi tidak semua dikongsi kepada umum.

Katanya, Jabatan Perangkaan mengambil langkah dengan mewujudkan aplikasi khas, boleh diakses oleh orang ramai untuk memperoleh data yang dikumpul jabatan itu.

Selama ini, sebahagian jabatan kerajaan menganggap laporan statistik mereka sulit” Abdul Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia