Berita Harian

Chong Wei tak kesal tewas

-

Kuala Lumpur: Tiada reaksi kecewa daripada jaguh perseorang­an negara, Datuk Lee Chong Wei biarpun tewas di pusingan kedua kepada pemain India, HS Prannoy di Terbuka Denmark, awal pagi semalam.

Sebaliknya, pemain berusia 35 tahun itu ketika ini dalam proses untuk menerima hakikat yang tidak semua kejohanan mampu untuk dia menangi apatah lagi faktor usia yang semakin meningkat.

Chong Wei, berkata dia kini mengambil pendekatan untuk menikmati setiap perlawanan­nya tanpa meletakkan sasaran atau tekanan yang tinggi.

“Saya akui saya tidak bermain dengan baik apabila banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya. Saya perlu puji prestasi Prannoy kerana dia bermain sangat baik.

“Apa pun saya tidak terlalu kecewa kerana saya kembali mendapat rentak dan kepantasan pergerakan saya. Dalam perlawanan atau kejohanan pasti ada menang dan kalah dan yang paling penting terus kekal fokus,” kata Chong Wei ketika dihubungi di Odense, semalam.

Buat persiapan terbaik

Bekas pemain nombor satu dunia itu terpaksa akur apabila dia tewas kepada Prannoy 17-21, 21-11, 19-21 dalam tempoh 64 minit.

Chong Wei yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-35 hari ini, kini mengalihka­n fokusnya kepada saingan Terbuka Perancis yang akan bermula, Selasa ini.

“Saya akan lupakan segera kekalahan ini dan fokus seterusnya adalah Terbuka Perancis. Ada beberapa hari lagi sebelum kejohanan bermula dan saya akan buat persiapan terbaik,” kata Chong Wei yang tiga kali muncul juara Terbuka Perancis iaitu pada 2007, 2011 dan 2015.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia