Berita Harian

Aksi Korea Utara, Malaysia di gelanggang berkecuali

- Oleh Firdaus Hashim

Kuala lumpur: Aksi kelayakan Piala Asia 2019 antara Korea Utara dan Malaysia yang tertangguh beberapa kali susulan situasi tidak selamat di Pyongyang menyaksika­n pertembung­an itu bakal diadakan di gelanggang berkecuali pada bulan depan.

Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) dalam kenyataan semalam berkata, tarikh bagi dua aksi kumpulan B itu ditetapkan pada 10 November ini dengan Korea Utara terlebih dahulu tampil sebagai tuan rumah diikuti Malaysia tiga hari kemudiaan.

Bagaimanap­un, lokasi gelanggang berkecuali itu masih belum dimuktamat­kan dengan Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John yakin ianya akan dapat diselesaik­an selewat-lewatnya minggu hadapan.

“Perlawanan ini sudah tertangguh sebanyak tiga kali kerana ketegangan politik antara Malaysia dan Korea Utara selain larangan oleh Kerajaan Malaysia ke atas warganya berkunjung ke negara berkenaan.

Semangat kesukanan

“Bagi menjaga dan menjamin keadilan, diputuskan bahawa keduadua aksi akan dilangsung­kan di venue berkecuali dengan aksi pertama menyaksika­n Korea Utara sebagai tuan rumah dan Malaysia pada aksi kedua.

“Kami gembira kerana keduadua Persatuan Ahli (Persatuan Bolasepak Malaysia dan Persatuan Bolasepak Korea Utara) telah bersetuju dengan keputusan ini demi semangat kesukanan yang tinggi,” katanya.

Sebelum ini, aksi di Stadium Kim Il-sung di ibu negara Pyongyan itu terpaksa ditangguhk­an buat kali ketiga pada 10 Oktober lalu selepas Kerajaan Malaysia mengeluark­an sekatan perjalanan ke republik itu.

Untuk rekod, Malaysia membuka kempen kelayakan dengan kekalahan 1-2 kepada Lubnan pada 13 Jun di Stadium Larkin sebelum terikat 1-1 menentang Hong Kong pada 5 September di Stadium Hang Jebat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia