Berita Harian

WANITA DITIPU KENALAN FACEBOOK RM7.9 JUTA

-

Shah Alam: Seorang wanita kehilangan wang berjumlah RM7.9 juta selepas dipercayai ditipu seorang lelaki yang menawarkan nombor ramalan.

Mangsa hanya disedari ditipu selepas lelaki berkenaan gagal memberi nombor yang dijanjikan walaupun sudah memasukkan lebih RM7 juta melalui 22 transaksi sepanjang Julai hingga September lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata wanita berusia 49 tahun itu menggunaka­n wang insurans kematian suaminya dan harta sepencaria­n mereka bagi mendapatka­n nombor ramalan berkenaan.

“Mendiang suaminya adalah seorang jutawan dan mempunyai syarikat sendiri, selain menjadi pemegang saham.

“Selepas kematian suaminya awal tahun ini, segala harta milik suami diserahkan kepada wanita itu sebelum dia menggunaka­n wang berjumlah RM7,927,160 bagi mendapatka­n nombor ramalan,” katanya kepada BH di sini, semalam.

Berkenalan di Facebook

Shamsul Amar berkata, mangsa tidak pernah berjumpa dengan lelaki terbabit selepas berkenalan di laman sosial Facebook, Julai lalu.

Katanya, lelaki terbabit mendakwa bekerja di sebuah syarikat nombor ramalan di Hong Kong sebelum menawarkan nombor ramalan berharga RM102,300 bagi mendapatka­n hadiah berjumlah kira-kira RM5.5 juta.

“Selepas pembayaran pertama, mangsa diminta memasukkan sejumlah wang lagi melalui empat akaun berbeza bagi tujuan pembayaran cukai peribadi serta kerajaan.

“Bagaimanap­un, nombor ramalan yang dijanjikan belum juga diterima walaupun pembayaran terakhir dibuat dua bulan lalu,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

22 TRANSAKSI sepanjang Julai hingga September lalu

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia